Hiburan

All Stars Buka Panggung: "Saya Bernazar Ingin Bawa Ibu Mengerjakan Haji Dengan.." - Zul Huzaimy

gempak
Zulaikha Yusof
12/10/2019
08:48 MYT
Sponsor Banner
All Stars Buka Panggung: "Saya Bernazar Ingin Bawa Ibu Mengerjakan Haji Dengan.." - Zul Huzaimy
Pelakon Zul Huzaimy menyimpan hasrat untuk memenangi program realiti hiburan spontan, All Stars Buka Panggung (ASBP).
Jelas Zul, dia ingin menggunakan wang kemenangan itu untuk membawa ibunya mengerjakan ibadah haji.
"Saya mempunyai 12 orang adik beradik dan saya merupakan anak kedua.
"Ibu saya sering menceritakan kepada saya mengenai hasratnya untuk menunaikan ibadah haji.
"Selepas itu, saya bernazar jika diberikan rezeki untuk bergelar juara, saya nak bawa ibu mengerjakan haji pada tahun hadapan," katanya kepada Gempak.
Zul berkata demikian di sidang media yang diadakan sejurus selepas tamatnya program tersebut.
Tambah pelakon filem Anak Halal itu, dia akui itu merupakan perkara pertama yang akan dilakukan jika kemenangan berpihak padanya.
"Memang itu niat saya ketika mula-mula bersetuju untuk sertai program ini.
"Sebelum ini saya dah bawa ibu mengerjakan umrah beberapa tahun lalu.
"Insya-Allah kalau ada rezeki saya jadi juara All Stars Buka Panggung, itu perkara pertama yang akan saya buat dulu dengan wang kemenangan,” tambahnya lagi.
Seramai lima orang peserta telah berentap untuk menempatkan diri mereka ke pentas akhir yang bakal berlangsung minggu hadapan.
Namun di minggu separuh akhir, Datuk Rosyam Nor telah diumumkan sebagai peserta yang tersingkir untuk minggu keenam.
Hanya empat orang peserta iaitu Datuk Aaron Aziz, Zulhuzaimy, Rita Rudaini dan Noorkhiriah.
Pada minggu keenam, setiap pelakon perlu menjayakan satu segmen dan mereka harus menjayakan babak secara spontan bersama gandingan sama ada Ajak atau Shahrol serta artis undangan seperti Mark Adam, Tomok, Bell Ngasri, Zulin Aziz dan A.R. Badul.
Menggungguli markah keseluruhan, Zulhuzaimy telah berjaya mengalahkan empat peserta lain pada minggu keenam ASBP dengan kutipan markah sebanyak 23.22 peratus.
Manakala, tempat kedua diikuti oleh Noorkhiriah (20.37%), Rita Rudaini (18.88%), tempat keempat, Datuk Aaron Aziz (18.85) dan Datuk Rosyam Nor dengan markah sebanyak 18.60%.
Penerima sumbangan sebanyak RM4,000 minggu ini adalah Nurul Kamal Mohamad Zainuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Kamal Pendek.
Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live