Pengacara HLive!, Dahlia Shazwan mengakui keputusan untuk berhijab adalah kerana dia merasakan inilah petunjuk yang diberikan oleh Allah SWT.

Menurut Dahlia atau nama sebenarnya Dahlia Shazwan Mohd Amin, 32, keputusan itu dilakukan selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah.

“Saya dah balik umrah nak dekat sebulan yang lalu. Ingatkan nak berhijab masa bulan Ramadan tapi macam tak nak tangguh takut tak sempat.

“Saya beritahu diri saya, nak tingkatkan secara rohani dulu barulah berhijab tapi makin hari rasa macam Tuhan tengah tunggu untuk saya bergerak.

“Hati saya macam rasa berhutang, rasa macam dah dijentik. Tapi kalau saya biarkan sahaja benda tu, takut lepas ni tak dapat petunjuk tu. Jadi, saya pun pakai hijab,” ujar Dahlia ketika dihubungi Gempak.



Pada siaran langsung HLive! malam tadi, Dahlia kelihatan manis mengenakan hijab dari rona krim ketika mengacarakan program tersebut.

Sudah mengenakan hijab sejak tiga hari lalu, wanita yang popular menerusi iklan Trivago ini mendapat sokongan yang penuh daripada suami, ahli keluarga dan teman rapat.

“Saya bertuah dikelilingi keluarga, suami dan teman yang sangat memberikan sokongan.

“Ada antara teman yang turut berkongsi pengalaman pakai tudung buat kali pertama dan saya sangat hargainya,” katanya lagi.

Malah, Dahlia turut dilihat berkongsi sekeping foto berhijab yang dimuat naik oleh rakan sekerja, Mya Zulkifli di ruangan IG Story miliknya.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen foto tersebut, rata-rata rakan selebriti dan wargamaya memuji penampilan terbaru bekas peserta On Air musim pertama ini.

“OMG so cantik sis!” komen rakan pengacara Adriana Adnan.

“Alhamdulillah, hidayah itu milik Allah,” kata rakan pengacara Alif Farhan.

“Awek Trivago dah pakai tudung lah. Cantiknya!” puji seorang wargamaya.

“Alhamdulillah, cantiknya,” komen seorang wargamaya lagi.

Terdahulu, Dahlia mendirikan rumah tangga dengan Shafiq Ismet pada 23 Julai 2016.

Pasangan ini telah dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Freda pada 22 Februari 2018.