Penyanyi popular Indonesia, Judika bijak memukau hadirin dengan memberikan persembahan penuh magis sempena Judika With The MPO (Orkestra Filharmonik Malaysia) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semuanya serba lengkap... Muzik memukau dari MPO pimpinan Ahmad Muriz Che Rose, pentas gah dan berprestij DFP, alunan vokal 'mahal' Judika, penampilan Jaclyn Victor sebagai penyanyi undangan yang cukup rasa serta penonton yang 'sporting' membuatkan persembahan yang diadakan selama dua malam itu menjadi kenangan manis buat penonton.



Berlangsung pada 19 dan 20 Oktober lalu, Gempak sempat menjadi saksi persembahan hebat terbabit di malam pertama konsert berlangsung.

Memulakan persembahan dengan mengalunkan lagu Apakah Ini Cinta, Judika mula menyihir penonton dengan gemersik suaranya.

Suasana dewan mula panas tatkala Judika mengalunkan lagu popularnya, Bukan Dia Tapi Aku dan Setengah Mati Merindu.



Sepanjang persembahan berlangsung, Judika membawa penonton menelusuri perjalanan kerjayanya semenjak bergelar penyanyi bermula dari Indonesian Idol 2005 sehingga sekarang.

Penyanyi itu juga bijak berkomunikasi dengan penonton yang hadir dan berjaya membuatkan hadirin menguntum senyuman manis dengan telatah serta interaksinya yang mencuit hati.

Segmen duet Judika bersama Jaclyn yang berpadu suara dalam konsert kolaborasi antara DFP dan Kelab Sukan Dan Rekreasi PETRONAS (KSRP) ini juga membuatkan penonton terpukau dan berpuas hati.





Selain Jaclyn menyanyikan lagu popularnya, Gemilang secara solo; mereka membawakan lagu Shallow nyanyian asal Lady Gaga dan Bradley Cooper serta lagu Kisah Ku Inginkan nyanyian asal Judika bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain itu, Judika turut membawakan lagu Cinta Karena Cinta, Sampai Kau Jadi Milikku, Mama Papa Larang, Bukan Rayuan Gombal, Malaikat, Aku Yang Tersakiti dan Jikalau Kau Cinta yang membuatkan penonton sama-sama menyanyi.

Judika juga mempersembahkan lagu berbahasa Inggeris, You Are The Reason dan medley lagu runut bunyi filem The Greatest Showman.

Penyanyi itu turut membawakan lagu Kaulah Segalanya dendangan asal Ruth Sahanaya dan istimewa untuk peminat di Malaysia, Judika mempersembahkan lagu Isabella nyanyian asal kumpulan Search sebagai penutup tirai persembahan.

Antara selebriti yang hadir ke persembahan terbabit ialah Lisa Surihani, Yusry Abd Halim, Elvira Arul, Misha Omar, Dina Nadzir, Liza Hanim, Sufie Rashid, Didie Alias, Fikry Ibrahim, Sherry Ibrahim dan Syamel.

Untuk info, Judika merupakan artis Indonesia kedua yang mengadakan konsert solo di dewan berprestij ini selepas Ruth Sahanaya yang mempersembahkan konsert solo pada tahun 2018.