HIBURAN
Amir Ahnaf Hormati Batas Dalam Lakonan - “Saya Okay Untuk Buat Babak Bersentuh Selagi…”
Pelakon, Amir Ahnaf menegaskan keselesaan dan rasa hormat adalah salah satu keutamaan baginya ketika melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita.
Menurut Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 25, keserasian dan komunikasi bersama pelakon wanita perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum melakukan mana-mana babak yang melibatkan sentuhan fizikal.
“Semuanya tentang keserasian dan saling menghormati dengan pelakon wanita saya. Kalau pelakon wanita saya tak selesa untuk buat babak bersentuhan, saya akan terus cari cadangan lain.
“Apa-apa pun, saya akan bincang dengan cara yang baik,” katanya kepada Gempak.
Amir Ahnaf berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran drama Pabila Dia Tersenyum yang berlangsung di Sunway Pyramid, Selangor pada Selasa.
BERITA BERKAITAN: Netizen Puji Suara Amir Ahnaf Baca Surah Al-Fatihah - “Bagus Didikan Mak Ayah Dia”
BERITA BERKAITAN: Rezeki Amir Ahnaf Dilamar Berlakon Di Indonesia - “Produksi Lamar Saya Untuk Filem Itu Sebab Miliki Wajah Jawa”
Tambah aktor yang terkenal dengan watak Kahar, dia juga berpegang pada prinsip untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita yang sudah berstatus isteri orang sebagai tanda hormat terhadap batasan peribadi.
“Saya okay saja untuk buat babak bersentuhan, selagi pelakon gandingan saya belum berkahwin.
“Kalau dia dah kahwin, saya akan pilih untuk elakkan sentuhan fizikal. Bagi saya itu adalah soal prinsip dan hormat kepada pasangan mereka,” kongsinya.
Pada masa sama, Amir turut berkongsi pengalamannya ketika digandingkan dengan pelakon muda, Puteri Balqish yang ketika itu baru berusia 17 tahun.
Katanya, dia sangat berhati-hati untuk menjayakan watak tersebut dalam sebuah drama apabila dia mengenangkan aktress itu di usia yang muda.
“Masa berlakon dengan Aqish, saya ambil masa untuk fikir cara terbaik agar kami selesa bekerja. Akhirnya saya ambil pendekatan untuk anggap dia seperti adik sendiri.
“Bila saya layan dia sebagai seorang adik, rasa sayang dan hormat itu datang secara semula jadi. Itu memudahkan saya untuk jayakan babak dengan jujur dan selamat,” jelasnya.
Meskipun pernah melakonkan beberapa babak bersentuhan, Amir mendedahkan dia belum pernah menerima sebarang ugutan mahupun kecaman daripada peminat.
“Setakat ni, belum lagi dapat ugutan dari peminat sebab babak-babak macam tu.
“Saya percaya semua tu berkait dengan menghormati. Kita kena tahu bagaimana nak imbangkan kehidupan peribadi dan kerjaya sebagai pelakon,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Amir Ahnaf merupakan pelakon utama dalam drama Pabila Dia Tersenyum yang mula ditayangkan di platform VIU pada setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu bermula 24 April 2025.
Selain Amir, drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Alya Iman, Adam Lee, Iqram Dinzly, Marissa Yasmin dan ramai lagi.