Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Amir Jahari Dedah Alami Depresi - “Pernah Cuba Terjun Jambatan 3 Kali, Alhamdulillah Tak Teruskan"

Mya Amri
17/12/2023 23:50 MYT
Penyanyi, Amir Jahari mendedahkan pernah melakukan percubaan untuk terjun dari jambatan pada tahun 2018.

Menurut Amir, pada ketika itu dia mengalami masalah kemurungan yang teruk sehingga mendorongnya untuk melakukan percubaan dengan terjun dari jambatan sebanyak tiga kali.

“Saya pernah mencuba untuk terjun jambatan sebanyak tiga kali tapi… Alhamdulillah saya tak teruskan.

“Waktu itu saya seorang diri di tengah-tengah jambatan. Setiap kali saya nak terjun dari jambatan mula-mula saya terbayang muka mak saya.

“Kali kedua pula saya terbayang muka isteri dan anak saya. Kali terakhir saya terbayangkan muka guru saya, Almarhum Raja Ashman Shah.

“Sejak itu, saya rasakan yang saya perlukan bantuan dan saya terus dapatkan rawatan,” jelasnya.

Amir berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM) hari ketiga yang berlangsung di Studio NTV7, Glenmarie.

Bagaimanapun, Amir bersyukur kerana dirinya telah pulih dan dia kini tidak mengambil sebarang pengambilan ubat dari tahun 2021 selepas mendapatkan rawatan.

“Selepas kejadian itu, saya terus bertekad untuk mendapat pertolongan. Alhamdulillah saya dapat teruskan kehidupan.

“Saya memang ada berjumpa dengan psikiatri dan mengambil ubat untuk atasi kemurungan itu. Saya bersyukur, sejak 2021 hingga sekarang saya sudah tidak bergantung kepada ubat.

“Tetapi adakalanya akan ada episod-episod kemurungan itu. Namun semuanya sudah bertambag baik dan saya boleh berikan tumpuan kepada kerjaya nyanyian saya,” jelasnya.

PILIHAN PEMBACA: Jangan Mati Rasa Itu, Astana, Bintang Berjaya! Ini Senarai Penuh 12 Lagu Mara Ke AJL38


Sekadar info, lagu ciptaan Amir berjudul Hasrat berjaya menempa tiket bersama 11 lagu lain ke AJL38 yang dijadualkan berlangsung pada 3 Mac 2024.

#Amir Jahari #Depresi #Kemurungan #SFMM38 #Cubaan Bunuh Diri #Separuh Akhir Muzik Muzik 38 #Terjun Jambatan
;