Sungguhpun sudah lebih dua dekat berada dalam industri, namun, kumpulan legenda U.K’s masih boleh membuktikan keupayaan mereka menghiburkan penonton menerusi Konsert Reunion U.K’s 25 Tahun yang berlangsung di Istana Budaya pada 17 hingga 18 Jun lalu.

Vokalisnya, Amir berkata, konsert berkenaan merupakan konsert reunion yang paling dinantikan oleh para peminatnya.

“Agak menguji kemampuan kami sebagai penghibur pada usia sebegini, tetapi alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Berbaloi juga segala latihan yang kami lalui sebelum ini sejak Disember tahun lalu.

“Kami tidak mahu konsert ini berakhir di sini sahaja. Sebab selepas ini, kami merancang untuk membawa konsert ini ke negara seberang seperti Singapura dan juga Indonesia,” katanya kepada Gempak.

Menariknya, pada konsert berkenaan, terdapat satu segmen yang dijadikan sebagai segmen tribute kepada komposer Saari Amri yang banyak mencipta lagu untuk mereka.

Selain itu, Saari juga dijemput untuk menyanyi lagu duet bersama Amir menerusi lagu Kita Sama Sahaja.

“Jujurnya, kami tak sangka sifu kami, Saari Amri dapat buat persembahan bersama. Kami juga speechless bila penonton yang datang juga turut menyanyi bersama ketika kami mendendangkan lagu.

“Sebab bagi saya, lirik lagu U.K’s senang melekat di hati peminat, terutama yang dengar lagu-lagu kami sedari kecil,” katanya lagi.

Menerusi persembahan yang berdurasi tiga jam itu, pelbagai lagu-lagu hits U.K’s dipersembahkan. Antaranya termasuklah Kau Satu-Satunya, Kekasihku Di Menara, Pahit Akan Manis Akhirnya, Rhythm Si Jantung Hati, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan Seksa.