Laman Utama
Amy Keluar Search Kerana Muak Masalah Disiplin? Jawab Kid & Din; "Kita Family, Ada Problem Kita Bincang"
Pemain gitar kumpulan Search, Kid dan Din mengakui kecewa dengan tindakan Amy yang menjadikan masalah disiplin mereka sebagai punca pengunduran dirinya daripada kumpulan tersebut pada awal tahun 2020.
Kid atau nama sebenarnya, Hamzah Mohd Taib berkata, dia enggan mengulas lanjut tentang hal berkenaan memandangkan ia bersifat peribadi dan sepatutnya diselesaikan di belakang tabir.
“Kalau boleh, saya tidak mahu sebut sangat tentang hal ini. Rasanya lebih sesuai jika kami berhubung sesama sendiri dan berbincang. Hal ini soal dalaman, nanti kalau berbalas ia akan berpanjangan.
“Jika saya buat seperti apa yang mereka lakukan, tiada bezalah cara kami berfikir dengan mereka,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada sidang media Pengumuman Penyanyi Baharu Search dan Pembukaan Rock Station di ibu kota semalam.
Kid mengulas tentang pendedahan Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman yang mendakwa punca pengundurannya daripada Search adalah disebabkan oleh sikap tidak profesional Kid dan Din.
Menerusi laporan media, Kid dan Din didakwa sering tidak hadir pada sesi latihan dan promosi album. Dedah Amy lagi, Din juga tidak menghabiskan bahagiannya ketika rakaman album Katharsis yang diterbitkan pada 2017.
Dalam pada itu, Din berkata, pihak Amy perlu menjawab dahulu pertanyaannya menerusi sesi siaran langsung yang dibuat sebelum memberi alasan lain terhadap pengundurannya.
“Kenapa mereka tidak menjawab persoalan yang saya utarakan? Jika mereka boleh jawab, pastinya saya boleh jawab persoalan mereka terhadap saya. No such thing about discipline or whatsoever.
“Mereka jangan buat cerita lain. Sebab itu saya tak komen apa-apa kerana tidak mahu bergaduh. Kalau buat kenyataan, memang tidak akan habis. Saya tidak suka personal attack, you come and see me. Kita family, ada problem kita bincang,” kata Din atau nama sebenarnya Nordin Mohd Taib.
Ditanya pula tentang kemahuan Amy untuk menggunakan nama Search pada kumpulan baharu yang ditubuhkan hasil gabungan anggota asal iaitu Nasir Daud, Hillary Ang dan Man Kidal, ini jawapan Kid:
“Siapa yang buat pengunduran? Saya rasa pertanyaan saya itu sudah menjawab persoalan. Dia dah keluar, jadi sesuai atau tidak dia gunakan nama tersebut jika sudah berundur?
“Benar, Hillary Ang merupakan pengasas tetapi adakah anda akan memilih berdasarkan pengasas atau anggota terakhir yang bekerjasama secara bersama untuk album terakhir? Pengasas atau anggota yang terlibat dengan pembikinan beberapa album, siapa lebih layak guna nama Search?,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Search turut mengumumkan penyanyi Indonesia, Denden Gonjales sebagai vokalis baharu Search.
Menurut mereka, Denden dipilih untuk mengisi posisi utama kumpulan itu memandangkan kebolehannya untuk menyanyikan lagu bernada tinggi.
Must-Watch Video