Penyanyi dan pelakon Amy Mastura menafikan dakwaan khabarnya akan bersara daripada dunia hiburan dalam masa terdekat ini.

Menurut Amy, dia tidak pernah terfikir mengenai perkara itu dan bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan untuk terus berkarya.

"Sebenarnya tiada istilah berhenti atau bersara daripada dunia seni kerana saya akan terus menyanyi dan berlakon selagi khidmat saya masih diperlukan.

"Khabar angin yang mengatakan saya akan bersara itu tidak benar kerana saya akan terus berjuang dan berkarya selagi mampu.

"Selagi diberikan kesihatan yang baik, saya akan terus berjuang untuk menyanyi dan berlakon sampai saya tak perlu menggunakan solekan untuk watak hantu.

"Saya juga bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan serta peluang untuk berlakon dan berharap agar rezeki yang diberikan ini akan berpanjangan," katanya kepada Astro Gempak.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Episod 15 Mencintaimu Mr. Photographer dan Sesi Ramah Mesra bersama peminat, di Cathay Cineplex, E@Curve, Damansara, baru-baru ini.