Pelakon Amar Baharin berkongsi cerita mengenai kerenah isterinya, Amyra Rosli yang kini sedang hamil lapan minggu.

Menurut Amar, selera makan Amyra semakin bertambah dan kadang-kadang, isterinya itu menyukai makanan di luar jangkaan.

"Kehamilan kali ini, selera makan Amyra bertambah, macam-macam jenis makanan dia mahu, kadang-kadang ada yang di luar jangkaan.

"Dia pernah mengidam mahu makan bihun campur sos cili ala masakan bujang yang mana sebelum ini dia tidaklah begitu suka untuk makan masakan begitu,"
ujar Amar.

Dalam pada itu, Amyra mengatakan dia kurang mengalami alahan berbanding kehamilan pertamanya sebelum ini.

"Alahan kali ini tak seteruk kehamilan pertama saya dahulu, ada juga muntah-muntah tapi tidaklah begitu serius.

"Soal makan pula, ketika kehamilan pertama dahulu, saya tak cerewet sangat, cuma kali ini boleh dikatakan semua benda saya mahu,"
selorohnya kepada Gempak.

Pasangan ini ditemui di majlis rumah terbuka anjuran mereka bertempat di Ampang, Kuala Lumpur malam tadi.

Isnin lalu, Amar mengumumkan isterinya telah hamil cahaya mata kedua menerusi laman Instagram dan YouTube.

Terdahulu, pasangan pelakon berbakat ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi yang kini berusia dua tahun.