Anak Demam Campak, Farah Ahmad Tetap Guna Petua Orang Dulu Tepek Daun Semambu

ZULHILMI JALIL
Februari 7, 2020 02:01 MYT
Pelakon Farah Ahmad memberitahu bahawa anak perempuannya, Thia Farhana kini mengalami demam campak.
Menurut Farah, biarpun sudah merujuk anaknya itu kepada doktor, namun, dia masih tetap mengamalkan petua yang sering digunakan oleh orang dulu.
"Ateh-ateh ayah @pitthanif kena demam campak. Jadi, seminggu duduk rumah. Doktor dah jumpa, tapi sebagai mak-mak ni, tetap kita amalkan ajaran orang-orang lama.
"Mandi dengan air daun semambu. Selepas itu kisar daun semambu yang lain campur dengan bedak sejuk, tepek satu badan.
Tidak setakat melumurkan dengan daun tersebut, menurut Farah dia juga meminta anaknya untuk tidur beralaskan daun semambu.
"Lepas tu tidur atas daun semambu, jadi, mama ni tak nak sepah-sepah, ambil kain batik masukkan daun-daun ni kemudian jahit. Tidaklah bilik nanti jadi macam musim luruh," katanya.
Farah turut berkongsi gambar dan video anak bongsunya itu yang sudah selesai dilumur dengan daun semambu seluruh badan menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Perkongsian Farah itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
"Daun semambu ni memang banyak membantu cepat kering parut campak tu.
"Rendam beras, mandikan dia dengan air beras tu. Insya-Allah kurang gatal badan. Kisar beras dan daun semambu buat bedak. Semoga cepat sembuh," tulis sebahagian netizen.
Dalam pada itu, Farah turut mencoretkan luahannya buat arwah suaminya pengarah, Mohd. Firdaus Mohamad Hanif atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif.
"Doktor Asmawati terkejut baru tahu pemergian awak. Sibuk doktor tanya mana Fordaus. Ye lah, selalu kita berdua. Kalau anak tak sihat dua-dua akan muncul kat klinik. Insya-Allah semua terkawal," tulisnya.
Pada 27 Oktober lalu, arwah Pitt ditemui mati selepas dilaporkan lemas ketika keluar memancing di Sungai Jelai, Lipis, Pahang.
Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Dhia Farhana, Mhia Farhana dan Thia Farhana.
#pelakon #Pelakon #Farah Ahmad #Campak