Vokalis Sakura Band, Melley Matius dan suami, Wan 6ixth Sense merancang untuk memberikan fokus untuk kerjaya masing-masing pada tahun 2018 sebelum menimang cahaya mata.

Kata Mell, 29, bagaimanapun tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki dalam tempoh terdekat.

"Tahun 2018 bakal membuka lembaran baharu untuk Sakura Band dan saya sendiri selaku 'orang baru' dalam Islam.

"Sebenarnya Sakura Band sudah merancang bakal mengeluarkan album baharu dengan konsep baharu tahun depan, jadi fokus saya untuk kerjaya terlebih dahulu sebelum menimang cahaya mata.

"Sama juga seperti 6ixth Sense yang juga sudah mempunyai pelbagai agenda sepanjang tahun 2018. Kami bakal sibuk dengan komitmen album kumpulan masing-masing.

"Tetapi, sekiranya dikurniakan rezeki lebih awal, kami sangat bersyukur," katanya kepada Astro Gempak.

Mell dan Wan ditemui pada majlis resepsi menyambut menantu sebelah pihak lelaki di Bangi Golf Club, Bandar Baru Bangi, Selangor semalam.

Majlis bertemakan 'garden traditional' itu dihadiri oleh lebih 500 tetamu termasuk keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua mempelai.

Pasangan itu dinikahkan pada 24 November lalu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah selepas berkenalan antara satu sama lain selama lebih enam tahun.

Majlis resepsi pengantin perempuan pula telah diadakan dua hari selepas pernikahan di Sabah.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @mellsakura