Mungkin anda belum dapat bayangkan apa yang kami cuba kongsi dengan anda. Okay, perkara terbaik adalah memberikan anda senario yang mungkin anda hadapi.

Bayangkan anda membeli satu periuk nasi elektrik. Wow! Harganya memang dalam lingkungan yang anda inginkan. Apatah lagi dengan membeli periuk nasi tersebut, anda dapat alat meluruskan rambut elektrik secara percuma! Bertuah betul!

Kali pertama anda masak nasi dengan periuk elektrik yang baru. Sejam belum masak. Masuk dua jam masih lagi tak jadi apa-apa. Tiba-tiba periuk nasi anda berasap! Alamak, apa dah jadi? Anda bengang, tapi terpaksa tunggu esok untuk kembali ke kedai yang menjualnya.



Bangun pagi anda ingin bersiap-siap. Anda keluarkan alat meluruskan rambut elektrik yang dapat secara percuma. Mesti anda rasa cantik hari ini. Tapi bila anda pasang alat tersebut, anda tidak boleh mengawal tahap kepanasannya. Nasib baik rambut anda tidak hangus. Anda cuba periksa pada plug dan kotak alat tersebut. Alahai, tidak ada pelekat dan tanda SIRIM! Penyesalan pun datang, tapi dah terlambat.

Ini hanya sedikit senario yang kami kongsikan dan hanya di tahap yang tidak begitu merbahaya, hanya kerosakan pada barangan yang anda beli. Tetapi bayangkan kalau perkara yang lebih buruk terjadi seperti kecederaan pada anggota badan mahupun kehilangan harta benda. Alahai, minta dijauhkan!



Jadi kenapa perlu ada kelulusan SIRIM? Penting, sangat penting! Kerana itu kami berkongsi sebab utama kenapa kelulusan SIRIM perlu ada pada setiap barangan elektronik yang anda beli.

SIRIM mempunyai banyak makmal ujikaji untuk membuat ujian ke atas produk-produk bagi memastikannya selamat dan berkualiti daripada mana-mana pengeluar. Antara ujikaji yang dijalankan adalah seperti kenaikan suhu, kebocoran aliran elektrik, ketinggian voltage, atau apa juga yang tidak normal pada sesuatu produk.



Setiap produk yang diluluskan oleh SIRIM adalah untuk mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik, apa juga bahaya yang berkaitan dengan sumber tenaga, bahaya yang berkaitan dengan kepanasan dan kebakaran, bahaya yang berkaitan dengan bahan mekanikal, serta bahaya yang berkaitan dengan radiasi dan kimia. Bak kata, bahaya yang boleh membahayakan hidup anda dan keluarga!

Selepas ini anda tidak perlu lagi peningkan kepala untuk memilih produk elektrik yang ingin digunakan. Pastikan produk tersebut mempunyai pengesahan SIRIM dengan logo SIRIM tertera pada produk tersebut. Pasti ia selamat digunakan.

Untuk mengetahui lebih lanjut, anda juga boleh layari SIRIM QAS International atau anda juga layari Facebook kami. Anda juga boleh memuat turun aplikasi SIRIM ke telefon pintar anda di App Store dan Google Play Store.

Jangan lupa, dapatkan barangan yang mendapat pengesahan SIRIM!