Usahawan kosmetik sensasi, Safiey Illias meluahkan isi hatinya mengenai nasib yang sering menimpa dirinya apabila tidak putus-putus menerima kecaman daripada masyarakat sekeliling.

Biarpun begitu, menurut Safiey, dia menerima dengan hati terbuka akan segala bentuk hinaan dan teguran yang diberikan kepadanya selama ini.

"Saya sayang semua. Saya sayang yang ambil berat dekat saya. Dah lima tahun saya bertarung dengan depresi dan bipolar, semua hinaan, saya telan. Saya tak malu mengaku saya siapa.

"Maafkan saya jika kehadiran saya membuatmu tidak senang. Saya tak mintak apa-apa, sekadar secebis kasih sayang," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Jelasnya lagi, dia juga tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk menerima dirinya.

Sungguhpun begitu, katanya, sekalipun ada hal yang dilakukannya tidak disenangi umum, dia berharap agar dirinya tidak berterusan ditentang.

"Tak perlu terima saya, tapi andai tak boleh terima saya, tak perlu menentang saya.

"Buatlah hal masing-masing, duduk diam. Kenapa kamu perlu tentang saya? Saya bukan musuh anda. Saya tak kacau orang," katanya.

Jelasnya lagi, apa yang sering dilihat umum mengenai dirinya adalah sesuatu yang tidak menggambarkan dirinya yang sebenar.

"Saya buat apa saya suka dan saya tak kaitkan sesiapa. Saya okey dimaki kerana terlalu jujur tentang semua benda daripada menjadi fake dan nampak mulia di mata semua," jelasnya.

Sebelum ini, Safiey sering menerima kecaman umum dengan perbuatannya yang cuba mengubah bentuk fizikalnya.

BACA: Pengakuan Safiey Illias Tentang Kerap Buat Pembedahan Wajah Memang Berani Mati, Macam Mainan Pula Dibuatnya