Hiburan
Andi Bernadee Jalin Hubungan Cinta Dengan Sarah Suhairi... Ye Ke?
Penyanyi baru, Andi Bernadee dilihat berteman mesra dengan juara program realiti Big Stage, Sarah Suhairi.
Sering memuat naik foto dan video bersama di ruangan Instagram Stories masing-masing, ada peminat yang menganggap mereka sedang hangat dilamun cinta.
Menafikan perkara tersebut, Andi menegaskan dirinya selesa berkawan dengan Sarah.
"Semenjak kami sama-sama menyertai Big Stage, saya mula rapat dengan Sarah. Sehingga sekarang, kami selesa berkawan dan senang bersahabat.
"Kami tak menjalin hubungan cinta pun. Saya tak menafikan, ada peminat yang menganggap kami pasangan kekasih dan mahu kami menjalin hubungan cinta.
"Biarpun beza usia kami sembilan tahun, kami senang berkaWan dan sekepala. Tiada rasa cinta antara kami kerana kami memang selesa bersahabat," katanya.
Andi ditemui di majlis pelancaran muzik video single terbarunya, Satu Peluang di Warner Music, Menara TSR Mutiara Damansara, semalam.
Berbicara mengenai Satu Peluang, Andi bersyukur kerana single ketiganya membuahkan hasil.
"Alhamdulillah, percubaan ketiga benar-benar membuahkan hasil. Saya sangat bersyukur kerana lagu ini mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan.
"Saya juga rasa bertuah kerana lagu ini dijadikan lagu tema bagi drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek yang bersiaran di slot Megadrama.
"Ramai peminat yang mula suka dengan lagu Satu Peluang selepas mendengarnya menerusi drama bersiri terbabit," kata Andi lagi.
Muzik video Satu Peluang turut menampilkan bintang drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek, Haneesya Hanee.
Selain Haneesya Hanee, drama bersiri ini turut dibintangi oleh Fikry Ibrahim, Farah Nabilah, Scha Elinnea, Farhan Asri, Dini Schatzmann, Iswan Ismail, Raja Azmi dan ramai lagi.
Diarahkan oleh Hadith Omar, jangan lupa saksikan minggu terakhir drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Must-Watch Video