Penyanyi Andi Bernadee dan Zynakal antara finalis Muzik Muzik 35 Separuh Akhir (SFMM35) yang membuat ujian swab test sebaik sahaja Aliff Satar disahkan positif Covid-19 pada Ahad.

Selain Andi dan Zynakal, peserta SFMM35 lain yang turut berkongsi foto melakukan ujian sama ialah Naim Daniel, Hael Husaini, Ismail Izani, Syamel, Ernie termasuk krew produksi dan kakitangan terlibat.

Kesemua penyanyi yang telah menjalankan swab test memberitahu menjalani ujian tersebut bersama pasukan masing-masing yang turut dibawa ke Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam ketika SFMM35 berlangsung.

Tindakan pantas para selebriti ini menjalani swab test sebaik sahaja menerima berita mengenai Alif Satar dipuji warganet.

Rata-rata mereka mendoakan kesihatan semua penyanyi di pentas SFMM35 termasuk pihak produksi serta kakitangan bertugas.

Warganet turut mendoakan agar Alif diberikan kesembuhan dan berharap agar krew produksi drama Penjara Janji arahan Jingo, terbitan JS Pictures Sdn Bhd turut melakukan perkara sama.

Selain itu, warganet turut terhibur melihat gelagat selebriti ketika menjalani ujian tersebut.

Semalam (Ahad) Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB), menerusi sebuah kenyataan mengesahkan Alif Satar positif Covid-19.

Alif yang membuat persembahan pada 20 November (Jumaat) kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Melaka.

Dalam pada itu STMB juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengurangkan risiko kebarangjangkitan, kepada warga kerjanya dan semua yang terlibat dalam program SFMM35.

Pada masa yang sama, kerja-kerja sanitasi di lokasi terbabit juga dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh KKM.

SFMM35 episod tiga yang dijadualkan berlangsung malam tadi juga telah ditunda kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

STMB berkata mereka sentiasa mengutamakan kesihatan kakitangan dan juga pelanggannya serta sentiasa akur dengan setiap SOP yang ditetapkan oleh pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kakitangan yang terlibat dalam produksi tersebut telah memulakan kuarantin dan bekerja secara virtual di rumah masing-masing bermula Ahad.