Pelakon dan pengarah, Angelina Jolie sah akan berlakon dalam filem Marvel bertajuk 'The Eternals'.

Sambil ramai peminat teruja menantikan filem 'Avengers: Endgame' yang akan keluar hujung April ini, berita pengesahan Angelina Jolie menyertai keluarga Marvel Cinematic Universe (MCU) ini memberikan khabar gembira.

Jolie, 44, bakal membawakan watak Sersi dalam filem ini. Sersi merupakan seorang wanita berkuasa yang telah hidup berabad lamanya dalam kalangan manusia.

Sersi dilahirkan di Olympia, Greece ketika zaman kejatuhan Atlantis dan Lemuria. Dia berbeza dengan rakan-rakan Eternals yang lain kerana Sersi selesa berada di sekeliling manusia.



Dia akhirnya berhijrah meninggalkan bandar tersembunyi 'The Eternals' dan hidup di dalam peradaban manusia.

Selain Angelina Jolie, barisan pelakon dan karakter lain masih belum didedahkan kepada umum.

Filem ini akan berkisarkan tentang sekumpulan bangsa makhluk mistik yang dicipta oleh Celestial.

Diarahkan oleh Chloe Zhao yang terkenal dengan beberapa projek indie seperti ‘Songs My Borther Taught Me’, filem ini akan memulakan pra-produksi pada bulan September tahun ini.