Peserta Gegar Vaganza 9 (GV9) Shila Amzah menganggap gosip cinta dengan penyanyi Amir Masdi atau dikaitkan dengan mana-mana lelaki adalah perkara biasa dalam dunia hiburan.

Sudah masak dengan gosip sebegitu, Shila berkata dia sentiasa tenang dan enggan melatah kerana menyedari kehidupan selebriti akan menjadi bahan atau subjek dalam media hiburan.

“Mungkin untuk Amir sendiri, dia masih muda dan mentah dalam industri ini. Untuk saya sendiri, saya dah terlalu masak bila dikaitkan dengan mana-mana lelaki.

“Benda itu tak jadi masalah untuk saya. Sebab selama mana dalam industri, benda itu adalah asam garam di dalam kehidupan anak seni. Kalau seandainya dikaitkan, saya tak akan melatah.

“Sebab bagi saya benda itu normal. Kalau benda tu betul, betul la… kalau tak betul pun, kita kena bijak menangani la jangan cepat melatah.

“Bagi saya, media pun hanya jalankan tugas dan kita (anak seni) adalah content… kalau dalam media hiburan, kita ni adalah antara subjek yang besar,” katanya kepada Gempak.

Sebelum ini, penyanyi lagu Kau Sakiti itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Shila selepas mereka kerap dilihat bersama.

Amir ketika ditemu bual oleh Gempak memberitahu dia dan Shila hanya sekadar rakan selebriti yang bermain badminton bersama.

Sementara itu, Shila turut memberitahu dia hanya menganggap Amir seperti adik memandangkan jarak usia penyanyi itu enam tahun lebih muda daripadanya.

“Saya kenal Amir daripada adik saya… mereka memang kawan yang selalu bermain futsal dan badminton bersama. Umur dia pun lebih muda daripada adik saya.

“Jadi saya anggap macam adik saja, beza umur pun enam tahun. Saya rasa kelakar la bila gosip itu keluar. Tapi kami memang kawan saja,” ujarnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!