Bakal mengadakan konsert pertama di Malaysia pada 20 November depan, penyanyi Indoensia Raisa mengakui dia ada kebimbangan dalam penggunaan bahasa ketika beraksi di pentas nanti.

Menganggap diri seorang yang kelakar, Raisa berkata dia takut penyampaian jenaka dalam bahasa Indonesia akan disalah erti atau tidak membuatkan peminat ketawa.

“Sebenarnya saya rasa bimbang dari penggunaan bahasa. Kadang-kadang bila saya cakap sesuatu dalam bahasa Indonesia, mungkin jadi tidak lucu atau salah jika ditukarkan ke bahasa Melayu.

“Kalau saya cakap dalam bahasa Inggeris, nanti saya tak boleh nak membuat jenaka seperti yang saya selalu buat. Saya ini seorang yang agak kelakar kalau di atas pentas.

“Jadi, saya takut ia akan disalah erti kalau diubah penggunaan bahasa. Itu saja kebimbangan saya. Tapi kalau dari segi muzik atau nyanyian, saya okay,” katanya kepada Gempak.

Konsert Raisa: Live In Malaysia bakal diadakan pada 20 November depan bermula pukul 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Pertama kali membuat persembahan di Malaysia, penyanyi lagu Kali Kedua ini mahu lebih banyak interaksi bersama peminat di konsert nanti.

“Saya sangat teruja untuk konsert pertama di Malaysia. Jujur lama sangat tak datang sini… kali terakhir sekitar 7 tahun lalu. Saya datang bertemu keluarga di KL.

“Saya memang tak sabar sebab rasa vibe peminat di sini sangat berbeza. Ternyata orang Malaysia dengar lagu saya. Sebelum ini tak ada masa yang sesuai untuk konsert.

“Jadi konsert nanti saya mahu lebih rapat dengan peminat. Nak tengok saya kelakar ke tak, nak tahu cerita saya, kena tunggu konsert nanti,” ujarnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!