Hiburan
Anggap Rezeki, K-Clique Tak Cemburu Dengan Populariti MK & Tuju
Kumpulan hip hop yang sedang mencipta nama, K-Clique tidak menyimpan perasaan cemburu melihat populariti yang diraih oleh dua ahli mereka, MK dan Tuju.
Menurut K-Clique, populariti yang diperoleh MK dan Tuju turut terpalit kepada kumpulan mereka.
"Kami tiada masalah dengan populariti yang dikecapi MK dan Tuju kerana itu adalah rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka.
"Kami memahami dan menyokong dengan apa saja yang dilakukan memandangkan kami adalah 'brotherhood'.
"MK dan Tuju lebih dikenali tetapi dalam masa yang sama mereka membawa nama K-Clique," kata mereka kepada Gempak.
K-Clique ditemui ketika sesi bersama media di Warner Music, Menara TSR, Mutiara Damansara, semalam.
Tambah K-Clique, mereka tidak kisah untuk berulang alik dari Kota Kinabalu (KK) ke Kuala Lumpur (KL) demi mencari rezeki.
"Selepas bulan Ramadan, jadual kami agak padat dengan jemputan persembahan di Kuala Lumpur.
"Kami tidak mempunyai rumah di sini jadi terpaksa menyewa hotel ataupun pihak penganjur yang menyediakan penginapan.
"Kami akui berasa penat ulang alik KK ke KL tetapi demi rezeki untuk membantu keluarga, kami sanggup," katanya lagi.
Kumpulan yang tidak asing dikalangan peminat muzik Hip Hop tempatan ini dianggotai MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello, dan NastyNas.
K-Clique kini muncul dengan single terbaru mereka berjudul Mimpi dengan penampilan istimewa rapper dan penerbit tersohor Alif.
Single 'Mimpi' terbitan Black Hat Cat Records boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music bermula 5 Julai 2019.
Must-Watch Video