Hiburan
Noki K-Clique Tak Terburu-Buru Cari Jodoh, Mahu Wanita Yang Tegas & Susah Dipujuk - “Kalau Boleh Saya Kena…"
Hasrat penyanyi dan pelakon Noki K-Clique untuk menamatkan zaman bujang sebelum mencapai usia 30 tahun gagal apabila masih belum bertemu dengan calon jodoh yang sesuai.
Menurut Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 30, perkara tersebut tidak mudah untuk dirinya memandangkan dia sedikit memilih kerana mahu mencari wanita yang terbaik buat hidupnya.
"Awalnya saya letak target sebelum usia 25 tahun kerana sunnah Nabi tetapi tak tercapai. Kemudian letak target umur 30 tahun, tak sangka cepat pula tempoh lima tahun itu berlalu, tahu-tahu dah hujung tahun.
"Saya masih belum berjumpa (calon isteri). Mungkin boleh dikatakan saya agak memilih juga sebab nak cari peneman hidup sampai akhir hayat tentu yang terbaik.
"la bukan senang, kena ambil masa. Saya pun tidaklah terburu-buru sangat. Yang penting kena memuaskan hati ibu saya," katanya kepada Gempak ketika ditemui di tayangan akhir drama bersiri Sebelum Titik Noktah yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Noki K-Clique Tidak Mahu Lakukan Adengan Bersentuhan Dengan Pelakon Bukan Muhrim - "Berlapik Boleh Tapi Ikutkan Hati Saya..."
ARTIKEL BERKAITAN: Panas Baran Noki Kini Dah Kurang - "Saya Cuba Dekatkan Diri Dengan Tuhan"
ARTIKEL BERKAITAN: TMSMY4: Noki K-Clique Tak Jadikan Masalah Kesihatan Sebab Penyingkiran, Anggap Diri Tiada Rezeki
Malah, pelantun lagi Mimpi itu turut mendedahkan ramai gadis cuba untuk mendekati dirinya.
Namun, rata-rata tidak menepati citarasanya kerana dia tertarik dengan gadis yang berpewatakan tegas serta tidak mudah tunduk mahupun termakan dengan pujukan lelaki.
"Sejujurnya, ramai perempuan yang berani datang mendekati dan majoritinya secara terbuka memuji saya. Ada yang sampai tawarkan diri mahu jadi kekasih.
"Tetapi sebagai lelaki, saya tak suka perempuan begitu. Saya nak wanita yang susah 'dapat'. Lain orang, lain cita rasanya.
"Saya suka wanita karakter begitu, berbanding wanita senang ditundukkan atau dipujuk. Kalau boleh saya kena berkerja keras untuk dapatkan dia," ujarnya lagi.
Tambah Noki, sebagai manusia biasa dia juga tidak terlepas untuk ada keinginan berkahwin memandangkan rata-rata rakan industri seperjuangan sudah menamatkan zaman bujang.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terlalu terburu-buru dan hanya mahu memfokuskan diri terhadap kerjaya lakonan.
"Tipulah kalau saya kata, saya tidak mahu kahwin bila tengok rakan-rakan bahagia dengan dengan pasangan mereka. Kadang-kadang saya ada juga tertanya bila agaknya giliran saya.
"Mungkin kerana keadaan saya yang agak sibuk sepanjang tahun ini jadi saya tak fikirkan sangat tentang perancangan untuk berkahwin. Tambahan pula tengah ada momentum dalam lakonan. Saya fokus yang itu dulu," tambahnya.
Menerusi perkembangan lain, Noki telah membintangi drama bergenre fiksyen dan thriler iaitu Sebelum Titik Noktah yang ditayangkan sejak 11 November lalu.
Menerima reaksi positif sepanjang siarannya, episod terakhir drama tersebut bakal menemui peminat pada 16 Disember depan menerusi Saluran 120 di Unifi TV.
Selain Noki, drama terbabit turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Puteri Balqis, Danny X-Factor, Shabby, Mathni Razak dan Alif Muhaimin.
Must-Watch Video