Hiburan

Angkat Suka Duka Atlet Bola Sepak Cacat Penglihatan, Kenali Empat Watak Utama Filem Eye On The Ball

gempak
Azwa Rahman
03/03/2020
07:31 MYT
Sponsor Banner
Angkat Suka Duka Atlet Bola Sepak Cacat Penglihatan, Kenali Empat Watak Utama Filem Eye On The Ball
Sebuah filem yang mengangkat tema sukan bola sepak paralimpik negara, Eye on The Ball (EOTB) bakal meruntun jiwa penonton di pawagam pada pertengahan Mac nanti.
Bergenre dokumentari, filem ini diarahkan oleh sutradara berbakat Chen Yih Wen.
EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.
Diterajui oleh pemain profesional sebenar, mari semak empat watak utama filem ini.
1. Asri Arshad (Pemain bola sepak)
Hilang penglihatan sejak lahir akibat demam panas, minat terhadap sukan bola sepak sedikit pun tidak menghalang minat Asri untuk bergelar atlet.
Terkenal sebagai seorang yang happy-go-lucky, Asri tetap tidak patah semangat bergelar pemain bola sepak paralimpik professional biar pun telah berdepan beberapa kecederaan.
Berusia 25 tahun, Asri merupakan pasukan bola sepak paralimpik negara yang bakal berentap di ASEAN Para Games Filipina pada Mac 2020.
2. Azwan “Kenchot” Azhar (Pemain bola sepak)
Azwan, 26, merupakan seorang pemain senior yang berasal daripada sebuah kampung nelayan di selatan tanah air.
Sejak bapanya hilang di laut, Azwan atau lebih mesra disapa Kenchot menjadi pencari nafkah tunggal keluarganya dan dia terpaksa memilih antara menguruskan pusat refleksologi atau terus bermain bola sepak.
Kenchot juga terkenal dengan sikap cepat marah dan sering memberi masalah kepada jurulatih.
3. Rollen Marakim (Pemain bola sepak)
Rollen merupakan satu-satunya pemain yang tidak pernah menikmati penglihatan. Membesar di negeri Sabah, keluarganya mula menyedari yang Rollen buta ketika berusia 3 tahun apabila dia berlari ke arah lampu pelita dan hampir menyebabkan rumahnya terbakar.
Dalam keadaan terpaksa, keluarga Rollen menghantarnya ke bandar untuk Rollen mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik.
Selain bergelar pemain bola sepak cacat penglihatan kebangsaan, Rollen, 30, turut bergelar operator telefon untuk orang cacat penglihatan di ibu kota.
4. Sunny Shalesh (Jurulatih)
Jurulatih Sunny Shalesh meninggalkan kerjayanya dalam dunia korporat untuk menyertai pusat pembelajaran komuniti untuk kanak-kanak dan orang kurang upaya milik isterinya.
Bergelar pemain bola sepak sejak zaman remajanya, Sunny banyak mendapat inspirasi daripada adik lelakinya yang mengalami masalah palsi serebrum.
Kini, Sunny, 50, menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk memperkasakan komuniti tersebut menerusi sukan. Pada tahun 2009, dia mula mengajar bola sepak untuk orang cacat penglihatan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sekumpulan anak muda cacat penglihatan bertekad untuk menggapai impian menjadi pemain bola sepak professional di pawagam tempatan bermula 19 Mac 2020.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live