Pelakon Anis Al-Idrus memberitahu perbezaan umur dengan teman lelakinya sebanyak enam tahun bukanlah penghalang dirinya untuk bercinta.

Anis, 28, berkata dia selesa berkawan dengan lelaki tersebut dan menyifatkan Raja Afiq, 22, sebagai seorang yang matang dan berbudi bahasa.

“Kalau dilihat pada usia terus terang saya katakan perbezaan umur sebanyak enam tahun itu memang agak banyak.

“Tapi kalau dari segi perangai kami ini macam kontra kerana saya tak seperti 28 dan dia pula bukan 22 tahun.

“Boleh dikatakan dia lebih matang sebab itu bila bersama taka da rasa beza pun beza umur kami, dan yang penting dia juga seorang yang berbudi bahasa,” katanya ketika ditemui di majlis kejutan hari jadi Anis Al-Idrus bertempat di Neway Karaoke, Jaya Square, Subang pada Ahad.

Tambah Anis lagi, dia berasa lega apabila teman lelakinya itu mengambil keputusan untuk mendedahkan hubungan mereka kepada media.

“Waktu dia berikan kenyataan mengenai hubungan kami, saya tidak berada di Malaysia kerana bercuti dan bila sampai saja hotel tiba-tiba ada berita mengenai kami.

“Sebenarnya saya tak kisah pun jika dia nak terus terang atau pun tidak sebab saya tahu bukan semua orang boleh terima.

“Kadang-kadang ada ada orang suka kita terus terang dan ada juga yang tidak suka.

“Tapi bila dia ambil keputusan untuk beritahu media saya rasa Alhamdulillah. Satu perkara bila kita dah beri tahu kebenaran, tak perlu nak sorok-sorok dah terutamanya dengan peminat.

“Secara jujurnya perkara itu memudahkan perjalanan kami berdua jugalah,” jelasnya.

Sementara itu, Anis berkata, dia sedang merancang untuk membawa pelakon tersebut bertemu keluarganya dalam masa terdekat.

“Setakat ini dia masih belum bertemu dengan keluarga saya kerana ibu dan bapa saya sibuk dan mereka juga menetap di Indonesia, tapi saya akan cuba cari masa untuk mempertemukan dia bersama mereka,” ujarnya

Terdahulu, pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz, Raja Afiq mendedahkan m sedang menjalinkan hubungan cinta dengan aktres Anis Al-Idrus, 28, sejak sebulan lalu.

Afiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 22, memberitahu perkenalan mereka bermula ketika menjayakan beberapa majlis anjuran sebuah stesen televisyen pada Ramadan lalu.