Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Anita Sarawak, Suami Berada Dalam Keadaan Baik - Noorkumalasari

Syafiqah Jalal
11/05/2017 11:28 MYT
Pelakon lagenda, Noorkumalasari akui lega apabila baru-baru ini adiknya Anita Sarawak telah menghubungi keluarganya dan mengesahkan dia berada di dalam keadaan baik.

"Kak Nita (Anita Sarawak) ada hubungi kakak saya dan memberitahu dia sihat bersama suaminya iaitu abang Mahadir.

"Dia kini banyak travel dari sebuah negara ke sebuah negara kerana mengikut suaminya yang bekerja.

"Saya harap dengan perkhabaran terbaru ini, orang tidak akan bertanya lagi di mana Anita Sarawak," katanya kepada Astro Gempak.

Noor Kumalasari ditemui di majlis tayangan program Salam Ramadan Kosong Kosong Astro di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, kemarin.

Pelakon filem Adik Manja itu memberitahu jauh dari sudut hatinya dia amat merindui Anita dan berharap kakaknya segera kembali ke tanah air.

"Saya amat merinduinya, sebelum ini walaupun dia jauh dia selalu menghubungi saya dan berkongsi ceritanya.

"Tapi kini tiada lagi panggilan daripadanya.

"Jika saya berpeluang berjumpa dengannya, saya berharap dapat memeluk dia dan dapat melihat dia sihat di depan mata sudah cukup bersyukur buat saya.

"Saya harap di kembalilah dan lupakan sengketa. Saya ingin sangat meminta maaf jika saya ada salah silap yang telah melukakan hatinya," katanya lagi.

Pelakon itu memberitahu Anita mula tidak dapat dihubungi sejak dia menamatkan kontraknya bersama Astro beberapa tahun lalu.

Teks oleh: Syafiqah Jalal
#pelakon #Pelakon #Anita Sarawak #Noorkumalasari
;