Isu penangkapan anjing liar yang berkeliaran bukanlah masalah baru dan setiap kali berlaku ia pastinya mencetuskan fahaman dan pandangan yang bercampur baur.

Perkara itu terbukti apabila sejak semalam, media sosial telah 'dibanjiri' dengan kecaman terhadap tindakan beberapa anggota Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Isu tersebut dikatakan tercetus apabila gambar yang dimuat naik di Facebook MPKJ telah menimbulkan rasa kurang senang buat sesetengah netizen.

Gambar tersebut pada awalnya hanya memaparkan beberapa anggota MPKJ cuba menangkap anjing liar di sekitar kawasan Kajang.

Namun, apa yang membuatkan ramai bersimpati adalah kehadiran seorang gelandangan yang terbaring di atas lantai disamping anjing-anjing berkenaan.

Ada yang menganggap ia tidak berperikemanusiaan dan tidak kurang juga yang mendakwa pegawai tersebut sebagai kejam.

Malah, ramai berpendapat masalah itu boleh diselesaikan menggunakan cara yang lebih berhemah.

Selain netizen, perkara tersebut turut dibangkitkan oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia menerusi satu posting di Facebook mereka.

“Kami tak akan lari! Kami akan tetap bersama tuan kami!

“Majlis Perbandaran Kajang baru-baru ini telah membuat operasi menangkap anjing-anjing yang tidak bertuan di serata bandar Kajang. Memang menjadi tugasan pihak berkuasa tersebut untuk menjalankan operasi sedemikian.

“Namun, satu gambar yang menyayat hati telah disalurkan kepada pihak Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia SAFM.

“Gambar berkenaan memaparkan beberapa petugas MPKJ sedang cuba untuk menangkap lima ekor anjing yang sedang menemani tuannya, sang gelandangan.

“Jelas dan nyata dari air muka lima ekor haiwan lemah ini ia sedaya upaya untuk tidak tinggalkan tuannya sang gelandangan walaupun tahu mungkin akan ditangkap dan akan dikurung kemudian hari.

“Berbelah bahagi samada mahu lari atau setia di sisi tuannya yang tidak punya apa-apa. Dua-dua adalah jalan mati bagi haiwan lemah ini, barangkali haiwan yang setia ini hanyalah satu-satunya sahabat sang gelandangan. Ia pastinya sedih jika dipaksa berpisah dari tuannya.

“Anjing memang terkenal dengan sifatnya yang setia! Janganlah kita ambil kesempatan terhadap sifat setia ia. Ianya kejam dan zalim,” katanya.

Sementara itu menerusi pemantauan Gempak di Facebook rasmi MPKJ, difahamkan operasi bersepadu tangkapan anjing liar itu dilakukan pada Jumaat lalu.

Operasi berkenaan bermula daripada jam 8 malam dan tamat pada 2.30 pagi.

Lokasi penangkapan merangkumi beberapa kawasan di Bandar Teknologi Kajang, Pangsapuri Angsana, Taman Putra Budiman dan Taman Sutera.

Dianggarkan sebanyak 20 ekor anjing liar berjaya ditangkap dalam operasi tersebut.

Sehingga kini, MPKJ masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kontroversi tersebut.