Penyanyi senior hebat seperti Shima dan Zaiton Sameon bakal diundang untuk memeriahkan Konsert Suara Emas Satu Kesan Abadi yang diadakan sebagai penghormatan untuk Allahyarham Saleem.

Konsert ini bakal diadakan pada 6 Oktober ini, jam 8.30 malam bertempat di Panggung Asia, Gombak, Kuala Lumpur.

Isteri kepada Allahyarham Saleem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Salju Entertaiment, Juriah @ Julia Bachok berkata, konsert ini diadakan sebagai apresiasi kepada Allahyarham Saleem.

“Pada malam konsert nanti, 100 peratus lagu yang akan dipersembahkan adalah lagu-lagu dari Allahyarham Saleem sahaja.

"Penyanyi lain seperti Shima dan Zaiton dijemput untuk memeriahkan konsert dan mereka bakal menyampaikan lagu popular dendangan arwah.

“Ia dirasakan sebagai satu langkah yang baik untuk memberikan apresiasi kepada insan legenda yang telah pergi meninggalkan kita semua.

“Kami juga percaya Allahyarham Saleem masih lagi mempunyai tempat di hati peminat dalam dan luar negara, terutamanya di negara nusantara.

"Ada di antara rangkaian lagu-lagu dendangan Allahyarham Saleem malar segar dan masih menjadi siulan peminat dari pelbagai peringkat usia,” katanya.

Juriah ditemui media pada majlis pelancaran konsert Konsert Suara Emas Satu Kesan Abadi (tribute to Allahyarham Saleem) di Panggung Asia, Kuala Lumpur baru-baru ini.





Turut diadakan pada majlis pelancaran terbabit ialah pertandingan karaoke yang disertai ahli kelab peminat Allahyarham Saleem yang mana kesemua lagu dipersembahkan adalah seleksi lagu dari penyanyi itu.

“Pertandingan nyanyian diadakan bagi menunjukkan rasa penghargaan dan sejujurnya, penyertaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa masih ramai lagi peminat Allahyarham Saleem yang masih menyokong.

“Nama pemenang untuk pertandingan ini akan diumumkan pada malam kemuncak konserti tribute itu nanti dan hadiah berupa wang ringgit antara yang ditawarkan.

"Pada masa sama, sebahagian dari hasil kutipan ini bakal turut diagihkan kepada badan kebajikan. Insya-Allah, ada sejumlah amaun yang telah pihak penganjur peruntukan untuk diserahkan kepada mana-mana badan kebajikan terpilih," katanya lagi.

Panggung Asia mampu memuatkan lebih 400 penonton dan harga tiket yang dikenakan bersempena konsert tersebut adalah RM150 seorang atau RM1,500 satu meja.

Untuk pertanyaan lanjut, tinggalkan mesej di aplikasi WhatsApp kepada Acit (010-5695178), Julia (014-3241977) atau ikuti laman Facebook Juriah Bugis (Balu Allahyarham Saleem) dan Panggung Asia Official.