Lagu runut bunyi (OST) bagi sesebuah drama bersiri membantu untuk menyampaikan penceritaan dan menarik minat penonton.

OST yang menarik, catchy dan kena dengan jalan cerita sesebuah naskah mampu menjadi umpan untuk penonton mengikuti drama bersiri tersebut.

Bersempena Malam Throwbaek Drama yang bakal berlangsung pada 1 April ini, Astro Gempak mengimbas semula calon akhir bagi kategori OST Paling Throwbaek:

Selamanya Cinta: Suri Hati Mr. Pilot

Lagu ini menjadi fenomena ketika drama bersiri ini mula ditayangkan. Dendangan duet ini menjadi kegilaan penonton setia Suri Hati Mr. Pilot sehingga ada antara mereka membuat video parodi.

Memori Berkasih: Dia Semanis Honey

Lagu evergreen dendangan Siti Nordiana dan Allahyarham Achik Spin ini kembali menjadi siulan ramai selepas digunakan untuk drama bersiri tersebut. Penangan lagu ini cukup kuat sehingga ada video kanak-kanak kecil menyanyikan semula lagu ini.

Dirgahayu: Lara Aishah

Lagu dendangan Datuk Siti Nurhaliza duet bersama Faizal Tahir ini digunakan untuk drama rantaian Lara Aishah menjadi kegemaran penonton serta pendengar radio. Lagu ini juga menjadi lagu duet terbaik yang menaiki tangga carta lagu popular banyak stesen radio.

Nakal Nakal Nakal: Awak Sangat Nakal

Lagu ciptaan dan dendangan Ayda Jebat bersama Irwan Simanjuntak ini diciptakan khas untuk drama bersiri ini. Lagu ini kedengaran sangat catchy dan menarik, bersesuaian dengan jalan cerita drama bersiri Awak Sangat Nakal.

Not For Sale: Tuan Anas Mikael

Lagu dendangan Stacy bersama Altimet ini menjadi lagu tema bagi drama bersiri Tuan Anas Mikael lakonan Zara Zya dan Aaron Aziz. Lagu ini nyata sesuai dengan jalan cerita yang cuba ditonjolkan oleh drama bersiri ini.

Malam Throwbaek Drama yang bakal berlangsung pada 1 April ini di Hotel Primiera, Kuala Lumpur.

Keseluruhan kategori yang dipertandingkan adalah sebanyak sebelas buah kategori. Lapan kategori adalah berdasarkan 50% undian online dan 50% penilaian juri Astro.

Kategori tersebut ialah Kapel Throwbaek, Watak Paling Meminta, Otai Throwbaek, Scene Paling Win, Pelakon Paling Membantu, OST Throwbaek, Hero Throwbaek dan Heroin Throwbaek.

Manakala tiga buah kategori lagi adalah 100% pilihan juri. Kategori-kategori tersebut adalah Drama Throwbaek, Fan Club Throwbaek dan Pelakon Paling Gigih.

Peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka secara online menerusi akaun Instagram H Live (@officialhlive) bermula 24 Mac sehingga 30 Mac 2017.

Pemenang untuk setiap kategori akan diumumkan pada Malam Throwbaek Drama kelak. Setiap undian yang dihantar haruslah diterima dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Jangan lupa untuk mendapatkan pas masuk untuk ke Malam Throwbaek Drama dan anda berpeluang untuk makan malam bersama artis-artis terkenal.

Tiket biasa dijual dengan harga RM150 dan tiket VIP dijual dengan harga RM550. Tiket VIP adalah termasuk makan malam dan penginapan satu [1] malam di Hotel Premiera Kuala Lumpur untuk dua [2] orang.

Untuk pembelian tiket, sila layari laman web rasmi di www.premiera.com.my atau hubungi talian 03-26151000 bermula 18 Mac 2017. Tempat adalah terhad kepada pemanggil terawal.

Teks oleh: Kamaruddin Razal