Filem pendek berjudul Antara Pintu terbitan Astro Gempak menerima pencalonan di Asian Contents Awards (ACA 2021) ke-3 tahun ini.

Antara Pintu tercalon bagi kategori Best Short-form / Web drama dalam acara yang dikendalikan oleh Busan International Film Festival (BIFF) Asian Contents & Film Market (ACFM).

Lebih manis lagi, senarai pencalon jugak turut dipaparkan menerusi satu artikel dalam laman sesawang antarabangsa terkenal iaitu Variety.com.

Selain Antara Pintu, pencalonan lain yang turut bersaing dalam kategori yang sama adalah Jaguh (Brunei), Life of Namjoo (Korea), Non-Reading Club (Taiwan) dan Sheker (Kazakhstan)

Antara Pintu yang diarahkan oleh Ezrie Ghazali ini ditayangkan menerusi platform YouTube Astro Gempak pada 8 Mei 2021.

Selain itu, edisi ketiga anugerah ini menyaksikan tiga pencalonan drama Korea popular iaitu Move To Heaven, Sweet Home dan Vincenzo.

ACA akan diadakan di lokasi tuan rumah iaitu Busan manakala calon-calon dari luar negara dari seluruh Asia akan menghadirinya secara atas talian.

Acara ini akan dihoskan oleh Mark Tetto dan Kim Sae Yeon yang menjadi tuan rumah ACA sejak awal.

Asian Contents Awards (ACA 2021) ini akan disiarkan pada 7 Oktober ini di saluran YouTube rasmi Naver dan BIFF.

Dengan tagline "Ibu ibarat pintu yang melahirkan kita ke dunia. Ibu juga pintu untuk menuju ke syurga,” filem pendek yang menampilkan pelakon Elizad Sharifuddin dan Wafiy ini mengisahkan tentang Adan yang terpaksa menemani ibunya menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.

Hanya antara pintu yang menjadi pemisah dan saksi kerinduan antara ibu dan anak. Mampukah pintu hati mereka terbuka sebelum terlambat?