Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Anwar Ibrahim Segak Berbaju Melayu Pink, Lengkap Songkok & Capal Mulakan Hari Pertama Jadi PM Malaysia Ke-10

Maliah Surip
25/11/2022 04:25 MYT

Hari ini, 25 November 2022 merupakan sejarah baharu buat negara apabila Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tugasnya sebagai pemimpin secara rasmi pada hari pertama.

Media massa telah ‘berkampung’ di kediamannya di Kajang, Selangor, seawal pukul 6.30 pagi bagi merakamkan detik bersejarah beliau keluar bekerja menuju ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di bangunan Perdana Putra.

Apa yang menarik perhatian adalah penampilan yang digayakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.

Bukan sut atau kot, sebaliknya Anwar dilihat segak berbusana baju Melayu warna merah jambu lengkap sampin bersama songkok yang dipakai senget sedikit beserta capal!

Penampilannya itu pantas mencuri perhatian apa lagi barisan pekerja dan pegawai yang menyambut kehadirannya memakai kot.

Figura berusia 75 tahun itu barangkali juga mengambil berkat kemuliaan hari Jumaat, yang kebetulan menjadi hari pertama beliau memulakan tugas rasminya mentadbir negara selepas perjuangan selama 24 tahun.

Terdahulu, tokoh yang amat dikenali dan disegani dunia ini dengan ramah menyapa seluruh media yang menanti di hadapan kediamannya, awal pagi ini.

“Hari ini pergi kerja," katanya kepada wartawan dan jurugambar yang berkumpul di luar rumahnya.




#Perdana Menteri #Baju Melayu #Pakatan Harapan #Pink #Anwar Ibrahim