Pelakon Datin Diana Danielle mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan daripada pakar berhubung masalah anxiety attack yang dialaminya beberapa minggu lalu.

Jelas Diana, dia tidak dibekalkan sebarang ubat-ubatan untuk mengatasi masalah tersebut sebaliknya dinasihati untuk sentiasa mendapatkan rehat yang cukup.

"Apa yang berlaku sebenarnya saya terlalu penat, bukannya banyak masalah tetapi aktiviti yang saya buat sehari-harian.

"Hari-hari saya tidur lewat pukul 2 atau 3 pagi jadi lama-kelamaan tenaga saya menurun sampai satu masa tangan saya menggeletar dan berpeluh-peluh.

"Jadi, saya berjumpa pakar dan dia tidak memberikan saya sebarang ubat-ubatan pun sebab masalah ini disebabkan keletihan," katanya memetik laporan HLive.

Tambah Diana, dia dinasihati untuk mengambil hidangan harian mengikut jadual yang telah ditetapkan selain pengambilan multivitamin.

"Saya perlu cukup tidur, makan ikut jadual dan makan multivitamin. Kemudian kita tengok macam mana.

"Alhamdulillah selepas dua tiga minggu saya jarang diserang masalah sama.

"Tetapi sekiranya betul-betul letih saya akan terkena serangan panik pada waktu malam sahaja," tambah Diana.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).