Penyanyi Ernie Zakri mendedahkan bahawa dia dan pasangan duet Hafiz Suip tidak akan melakukan persembahan menerusi lagu Berakhirlah Pencarianku di pentas separuh akhir Muzik-Muzik 37 (MM37).

Menurut Ernie, keputusan tersebut diambil bukanlah atas kehendaknya, sebaliknya ia adalah kata putus yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan.

“Saya hanya layak memberi kenyataan sebagai seorang penyanyi sahaja, tanggungjawab saya hanya menjayakan projek itu sahaja iaitu projek lagu Berakhirlah Pencarianku.

“Seratus peratus keputusan bukan daripada tangan saya, saya hanya menyanyi sahaja, mereka (pihak label) yang buat keputusan.

“Ini sahaja komen saya, tidak akan ulas terlalu banyak. Bagaimanapun setidak-tidaknya saya boleh fokus lebih sikit pada lagu satu lagi, Korban,”ujarnya kepada Gempak.

Ernie berkata demikian ketika ditemui usai majlis pengumuman 30 buah lagu yang berjaya ke pentas separuh akhir MM37 bertempat di One Utama, Petaling Jaya, pada Jumaat.

Difahamkan, lagu tersebut bakal dibawakan oleh penyanyian gantian iaitu Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq.

Mengakui berasa janggal dengan keputusan tersebut, Ernie bagaimanapun menganggap tiada rezeki buat dirinya pada edisi kali ini.

“Saya diberitahu mengenai perkara ini pada minggu lepas. Bila dapat berita macam itu sudah pasti saya rasa janggal sebab saya yang melalui proses rakaman itu, janggal bila lihat penyanyi lain atas pentas.

“Tapi saya tak rasa itu satu perkara yang negatif, untuk saya itu bagus juga untuk Wani Kayrie untuk explore lebih. Ini juga peluang untuk dia.

“Kalau saya ditempat Wani pun saya akan ambil peluang ini. Saya anggap tiada rezeki untuk saya bawakan lagu tersebut,” tambahnya.

Terdahulu, selain Berakhirlah Pencarianku, sebuah lagi lagu nyanyian Ernie iaitu Korban turut layak ke pentas separuh akhir MM37 yang akan berlangsung pada 25 dan 26 November depan.