Pelakon Bront Palarae mengingatkan ahli parlimen bahawa situasi yang terjadi dalam Dewan Rakyat akan menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Jelas Bront, kekecohan yang berlaku baru-baru ini akan mudah tersebar dengan adanya kecanggihan teknologi Internet.

"Bapak Menteri dan YB sekalian. Mohon beringat, sekarang dunia internet.

"Apa sahaja yang anda tunjukkan dalam sesi Parlimen, bukan sahaja menjadi contoh dan teladan buat anak cucu.
"Malah juga ditonton oleh warga dunia yang lain.

"Imej-maruah agama, bangsa dan negara di tangan anda," pesan Bront menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.

Pada 13 Julai lalu, Dewan Rakyat kecoh selepas isu kenyataan 'gelap, pakai bedak' menjadi sindiran oleh ahli parlimen yang bersidang.

Kata-kata yang disifatkan berbaur seksis dan rasis itu tular dan menjadi buah mulut ramai hingga ke negara jiran Indonesia.

Pandangan Bront itu mendapat sokongan netizen yang memohon agar ahli parlimen menjaga tatasusila dan kesopanan ketika bersidang dalam Dewan Rakyat.