Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Apa Motif Anna Jobling 'Bertapa' Sebulan Di Bali?

Amri Hassan
14/06/2023 05:55 MYT
Pelakon, Anna Jobling, bakal ‘mengasingkan diri’ selama sebulan di Bali, Indonesia atas urusan penggambaran bersama syarikat produksi dari negara republik itu.

Selepas beberapa kali terpaksa menolak tawaran produksi di Indonesia, akhirnya impian Anna untuk melebarkan sayap di negara jiran itu menjadi kenyataan selepas menerima tawaran sebagai salah seorang teraju utama dalam sebuah siri terbaharu di platform Over-The-Top (OTT), MNC TV.

"Setelah beberapa projek yang saya terpaksa tolak pada enam bulan pertama 2023, saya sangat gembira untuk menerima dan membintangi naskhah terbitan negara seberang kali ini kerana waktu penggambaran serta watak yang ditawarkan bersesuaian, lagi-lagi saya akan tinggal di Bali lebih daripada sebulan.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya bekerjasama dengan produksi Indonesia. Tambahan pula, salah seorang pelakon kegemaran saya iaitu Pevita Pearce merupakan salah seorang pengarah drama OTT ini.

"Perasaan pastilah takut dan teruja, terutamanya saya harus memperbaiki dari segi bahasa dan dialek Indonesia serta menyesuaikan diri dengan cara kerja produksi Indonesia," tambah Anna.



Dalam pada itu, Anna turut berterima kasih kepada peminatnya dari setiap negara terutama Indonesia yang sentiasa membantu memperbetulkan cara sebutan dialek negara tersebut.

"Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada peminat-peminat dari setiap negara yang sentiasa mendukung perkembangan saya sehingga kini.

"Bahasa dan dialek Indonesia saya sering di perbetulkan oleh mereka ketika berinteraksi bersama dan itu yang membantu saya lebih yakin untuk teruskan penggambaran drama OTT itu," katanya.
#pelakon #Drama #Pevita Pearce #Indonesia #Anna Jobling #Bali
;