Isu rentas negeri dan langgar prosedur operasi standard (SOP) antara perkara sensitif yang menjadi buah mulut rakyat ketika ini.

Tindakan selebriti atau Instafamous yang berkongsi perihal merentas negeri pasti akan kecoh dan diperdebatkan netizen.

Hal sama terjadi kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga hujung tahun lalu, Ikmal Amry dan Najla Shamsul.



Memuatnaik foto dan video bercuti di Langkawi baru-baru ini, pasangan itu turut mencetuskan tanda tanya netizen.

"Apabila Instafamous, artis, VVIP rentas negeri," tulis seorang pengguna di akaun Instagram Ikmal.

Tampil membalas kecaman tersebut, kata Ikmal, mereka masih mematuhi SOP dan bercuti ke pulau peranginan itu menggunakan cara yang betul.

"Semua pun boleh rentas negeri kak. Kena dengan cara boleh je," ujarnya.

Malah, ada juga pihak yang membandingkan kelulusan pasangan itu merentas negeri dengan pasangan pengantin baru, Neelofa dan Haris Ismail.

Jawab Najla; "Lofa stay di Kuala Lumpur. Kawasan PKP. Saya dan Am (Amry) tinggal di Negeri Sembilan. PKPP. Terima kasih."



Najla turut memuat naik sepotong video di Instagram Stories bertanyakan pandangan umum tentang tindakan mereka merentas negeri dari negeri PKPP ke kawasan sama PKPP.

"Sektor pelancongan sudah buka, tapi boleh merentas dari negeri PKPP ke negeri PKPP. Macam I dekat Negeri Sembilan yang masa sekarang PKPP boleh pergi melancong ke tak?" soalnya yang mendapat respon jawapan ya dari netizen.



Merujuk kepada SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), gelembung pelancongan domestik terpakai untuk negeri PKPP-PKPP sahaja.

Pasangan itu telah melangsungkan pernikahan pada 19 Disember 2020.