HIBURAN
Arfie Shah, Aizat Saha Belajar 'Cantikkan' Lakonan Dari Pentas Teater - "Saya Tak Setuju Teater Hanya Untuk ..."
Dunia teater tidak seharusnya dilihat sebagai medan eksklusif untuk pelakon yang memiliki latar belakang akademik dalam bidang tersebut.
Malah, pelakon komersial juga boleh menyerlah dalam pentas teater asalkan mempunyai disiplin dan minat yang mendalam.
Pandangan ini dikongsi oleh dua pelakon muda, Arfie Shah dan Aizat Saha, yang kini membintangi pementasan Persiapan Seorang Aktor.
Kedua-duanya melihat penyertaan mereka dalam produksi ini sebagai satu langkah penting untuk menolak persepsi teater sebagai ruang tertutup.
Bagi Arfie Shah, yang pertama kali melibatkan diri dalam dunia teater, tanggapan bahawa hanya mereka yang mempelajari bidang teater layak berada di pentas tersebut wajar diubah.
“Saya tidak setuju teater hanya untuk pelakon teater. Bagi saya yang masih baharu pun boleh cuba selagi matlamat utama adalah untuk belajar.
"Teater adalah platform terbaik untuk pelakon mengasah bakat dan belajar menjadi lebih berdisiplin," katanya.
Tambahnya, keunikan teater terletak pada kejujuran dalam persembahan kerana semuanya dilakukan secara langsung tanpa peluang untuk disunting atau diulang seperti dalam produksi televisyen atau filem.
“Apa yang berlaku di atas pentas itulah yang disaksikan penonton. Itu satu pengalaman yang sangat berharga dan berbeza dengan dunia drama.
"Dalam teater juga kita ada banyak masa untuk berlatih dan setiap latihan itu akan melahirkan idea baharu yang mencantikkan lagi lakonan kita,” katanya.
Walau bagaimanapun, Arfie mengakui bahawa bergandingan dengan nama-nama besar seperti Nam Ron dan Aloy Paradoks dalam pementasan ini merupakan cabaran besar yang menuntut persiapan rapi.
“Ini teater pertama saya. Tapi saya perlu pastikan lakonan saya membantu memperkuatkan jalan cerita agar mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton,” katanya.
Sementara itu, Aizat Saha pula berpendapat bahawa mana-mana pelakon, tanpa mengira latar belakang, mempunyai hak untuk mencuba bidang teater asalkan mereka benar-benar komited.
“Asalkan ada minat dan komitmen, mana-mana pelakon boleh masuk ke dunia teater. Ia satu bentuk seni yang menuntut komitmen tinggi dan latihan yang berterusan,” katanya.
Mengulas lanjut tentang cabaran yang dihadapi sepanjang terlibat dalam produksi ini, Aizat berkata dia perlu melatih diri agar lebih berdisiplin serta bersedia bekerjasama dalam pasukan yang padu.
“Jadual latihan teater sangat ketat. Kita juga perlu menjayakan watak dengan sepenuh rasa kerana ia dilakonkan secara langsung di hadapan penonton. Ia sangat mencabar dan mendidik,” ujarnya.
Persiapan Seorang Aktor yang dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) dari Khamis hingga Ahad ini membawa penonton menyelami perjalanan seorang pelakon lelaki yang terobsesi dengan kesempurnaan dalam lakonan — bukan sekadar ingin menjadi terbaik di Malaysia, malah melangkaui pencapaian legenda seni pentas dunia.
Karya ini mengupas perjuangan emosi, mental dan spiritual seorang pelakon dalam dunia seni yang sarat dengan pengorbanan, tekanan, dan cinta terhadap panggilan seni.
Tiket kini boleh didapati di laman sesawang www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.
Must-Watch Video