Hiburan
Arnold Schwarzenegger Tertarik Dengan Keramahan Rakyat Malaysia
Bintang filem The Terminator, Arnold Schwarzenegger akui yang dia tertarik dengan keramahan masyarakat di negara ini dan tidak menolak kemungkinan untuk kembali berkunjung ke Malaysia.
Bekas Gabenor Calfornia itu buat pertama kalinya telah menjejak kaki ke negara ini, dan memberitahu dia amat teruja dengan kemesraan masyarakat walaupun belum berkesempatan melawat kebanyakan tempat di negara ini.
Menerusi laporan Astro Awani, Arnold berkata demikian sewaktu menghadiri sesi ceramah 'Disiplin Dalam Tindakan' sempena Forum Transformasi Global 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam sesi berkenaan, Arnold yang terkenal dengan ungkapan ungkapan "I'll be back" dalam siri Blockbuster aksi sains fiksyen, 'The Terminator' itu, berkongsi kisah tentang transformasi yang berlaku sepanjang kerjaya beliau.
Arnold yang telah memulakan kerjayanya sebagai ahli bina badan seawal usia 15 tahun, berkata biarpun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan namun ia tidak pernah menghalang impiannya untuk berjaya dalam setiap bidang diceburi.
Prinsip yang diamalkan anak kelahiran Austria itu termasuk kepentingan berwawasan, miliki impian besar, tidak gentar untuk gagal dan berusaha keras telah mendorongnya berjaya sehingga bergelar jaguh bina badan, bintang filem, ahli perniagaan dan juga gabenor.
Dia juga tidak pernah menghiraukan sebarang kritikan terhadap dirinya. Antara kata-kata negatif yang diterima ialah dia seorang yang gila dan tidak mungkin akan berjaya dengan sukan bina badan di Amerika.
Kritkan itu diteruskan lagi apabila dia berhasrat menceburi industri perfileman, di mana semua ejen dan eksekutif studio yang ditemui berkata badannya terlalu besar, dan loghatnya tidak sesuai untuk bidang lakonan
Namun itu semua tidak pernah mematahkan semangat Arnold.
Kini Arnold boleh berbangga dengan reputasi yang dimiliknya di Hollywood.
Mengulas tentang pemilihannya sebagai pengganti Donald Trump dalam siri popular The Apprentice, beliau menjawab tidak sabar untuk terlibat dalam program itu bermula Februari tahun hadapan.
Sekiranya, ungkapan You're Fired sering digunakan Trump untuk membuang peserta rancangan berkenaan, kata Arnie, kali ini ia mungkin sedikit berbeza.
"Mungkinkah ia akan menjadi 'Hasta La Vista, Baby', 'You're Terminated' atau 'You Won't Be Back'," katanya sambil tertawa.
Sumber: Astro Awani
Teks diolah semula oleh: Helmi Zainalabidin
Must-Watch Video