Pelakon veteran, Datuk Baharuddin Omar, 85, meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam sekitar jam 6.30 petang tadi akibat sesak nafas.

Pemergian Allahyarham yang dikenali dengan watak Anjang Aki itu disahkan oleh isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar.

"Arwah baru selesai makan, kemudian dia masuk ke bilik untuk berehat. Saya pula ke dapur, selepas meninjau keadaannya di dalam bilik itu, saya dapati dia mengalami sesak nafas.

"Selepas itu, arwah langsung tak sedarkan diri, saya dan dua anak ada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.

"Alhamdulillah, arwah pergi dengan mudah, saya kemudiannya menghubungi anak-anak lain memaklumkan berita pemergian arwah," katanya seperti yang dipetik dari BH Online.

Tambah Nazariah, cucunya yang bekerja sebagai doktor di Klang bergegas pulang ke rumah untuk menjalankan ujian calitan COVID-19 pada Allahyarham.

Setelah ujian itu dibuat, cucunya mengesahkan punca pemergian tersebut bukan disebabkan wabak COVID-19.

"Cucu mengesahkan arwah bukan meninggal dunia disebabkan wabak COVID-19," katanya lagi.

Allahyarham meninggalkan isterinya bersama tujuh cahaya mata dan dua anak tiri.

Jenazah beliau dijangka akan dikebumikan esok di Sungau Tua, Batu Caves, Selangor.

Salam takziah diucapkan kepada Datin Nazariah sekeluarga, semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman.