Arwah Siti Sarah Muncul Dalam Mimpi, Watie - “Tak Sangka Tiba-Tiba Ada Rasa Cemburu”
Mya Amri
21/03/2024 21:53 MYT
21/03/2024 21:53 MYT
Isteri kepada pelawak, Shuib iaitu Watie Hanifiah tidak menyangka akan timbul rasa cemburu sewaktu bermimpi tentang Allahyarham, Siti Sarah Raisuddin baru-baru ini.
Walaupun mengetahui itu hanyalah mainan tidur namun kata Watie, perasaan cemburu di dalam mimpi itu timbul apabila wujud rasa bimbang kehilangan suami dan anak-anaknya.
Jelas Watie lagi, mimpi tersebut mungkin tercetus selepas anak perempuannya, Dzakira Talita Zahra memberitahu turut bermimpi tentang arwah Siti Sarah.
"Baru-baru ini saya ada mimpikan arwah. Dalam mimpi itu hanya ada saya, arwah dan abah (Raisuddin Hamzah).
"Arwah hanya berdiam diri dan lihat saya. Dalam mimpi itu, wujud satu perasaan risau, adakah dia kembali untuk ambil semula haknya iaitu Shuib dan anak-anak.
"Masa itu memang dalam hati rasa begitu tetapi saya sorok perasaan itu sebelum tegur dan tanya pada arwah, 'tak mahu jumpa anak-anak ke? Mereka rindu'.
“Arwah tak balas tetapi hanya memandang sahaja. Tak sangka ada rasa cemburu dengan arwah Siti Sarah dalam mimpi,” katanya kepada Gempak.
BERITA TRENDING: Ada Yang Tanya Terasa Tak Bila Netizen Bandingkan Dengan Arwah Siti Sarah, Ini Jawapan Watie
Watie berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media bertempat di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Velley Megamall pada Rabu.
Kongsi Watie lagi, perasaan cemburu terhadap arwah tidak pernah terbit dalam hatinya namun syukur hanya sekadar dalam mimpi.
"Itu pertama kali saya terfikir bahawa dalam mimpi pula ada perasaan itu. Dalam hati terdetik risau dia kembali nak ambil semua semula tetapi itu semua hanya mimpi.
"Secara realiti tidak cemburu tetapi dalam mimpi pula cemburu," ujarnya.
Tambahnya, dia juga mengambil masa beberapa hari untuk berkongsi tentang mimpi tersebut dengan Shuib
"Selepas saya cerita pada Shuib dan tanya dia kalau disuruh buat pilihan, dia pilih siapa? Dia hanya diam dan kata mengarut sahaja.
"Kemudian kami berborak banyak benda mengarut, bergelak ketawa tapi jangan risau semuanya okey sahaja," katanya.
BERITA TRENDING: “Pandangan Yang Saya Ambil Kira Adalah Shuib & Anak-Anak” - Watie Tak Cepat Melatah Bila Netizen Sering Bandingkan Dengan Arwah Siti Sarah
Untuk rekod, Watie telah mendirikan rumah tangga bersama Shuib pada 23 Jun lalu.
Itu merupakan perkahwinan kedua Shuib selepas pemergian Siti Sarah pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.
Hasil perkahwinan terdahulu, Shuib dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2 tahun.