Advertorial
Asingkan Sendiri Sampah Di Rumah, Jimat RM2 Bilion Kos Pelupusan
Mungkin ramai tidak sedar mengasingkan sendiri sampah di rumah boleh mengurangkan peruntukan wang negara untuk proses pelupusan sisa pepejal.
Malah beberapa laporan di media menyatakan, kempen mengasingkan sisa pepejal di punca atau di rumah ini akan memberi kesan cukup besar kepada persekitaran dan alam sekitar.
Mengasingkan sendiri sisa pepejal di rumah juga menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan yang menelan belanja hampir RM2 bilion setahun.
Pelaksanaan ini adalah berdasarkan peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang berkuatkuasa di tujuh negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.
Merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) jika pemilik kediaman tidak mengasingkan sisa pepejal.
Sehingga 31 Mei 2016, notis peringatan akan diberikan kepada pemilik yang gagal mengasingkan sisa seperti yang ditetapkan.
Orang ramai dikehendaki menyediakan sendiri apa-apa bekas yang bersesuaian atau plastik sampah untuk mengasingkan sisa pepejal.
Secara umumnya, proses pengasingan sisa pepejal isi rumah ini melibatkan pengasingan sisa pepejal mengikut komposisi sisa seperti sisa kitar semula, sisa baki dan sisa pukal atau kebun. Sisa yang diasingkan ini akan dikutip setiap minggu mengikut jadual yang ditetapkan.
Sistem kutipan 2 + 1 telah bermula 1 September tahun lalu di mana kutipan bagi sisa baki dilakukan dua kali seminggu manakala kutipan sisa kitar semula, sisa kebun dan sisa pukal dilakukan sekali seminggu.
Turuti tiga langkah mudah untuk mengasingkan sisa pepejal di rumah iaitu, asingkan mengikut jenis yang telah ditetapkan, simpan sementara dalam bekas yang sesuai dan letakkan di tepi tong pada hari kutipan.
Sisa baki mestilah dibungkus dengan rapi ke dalam plastik atau bekas yang sesuai dan dimasukkan ke dalam tong seperti sisa dapur, sisa makanan, bahan-bahan kotor, lampin pakai buang. Kutipan dilakukan dua kali seminggu.
Sisa kitar semula (kertas, plastik dan lain-lain) pula perlu diasingkan dan dibungkus rapi ke dalam plastik atau bekas yang sesuai serta diletakkan di tepi tong pada hari kutipan.
Sisa pukal dan sisa kebun atau laman hendaklah diletakkan dengan dengan kemas di bahu jalan di hadapan rumah pada hari kutipan.
Untuk maklumat lanjut hubungi Talian Indahkan Malaysia di 1 800 88 7472 atau layari www.kpkt.gov.my/separationatsourc
Must-Watch Video