HIBURAN
Asslamualaikum Kakak Ipar Ku…” - Raikan Ahli Keluarga Baharu, Rebecca Nur Islam Titip Ucapan Istimewa Buat Bonda Rozita
Selepas teka-teki terjawab, pelakon Rebecca Nur Islam menitipkan ucapan istimewa kepada ibu kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Bonda Rozita.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram, Rebecca mengalu-alukan kedatangan Bonda Rozita sebagai ahli keluarga baharu mereka.
“Jodoh ajal maut sudah tertulis di Luh Mahfuz. Pernikahan itu adalah ibadah yang Allah suka.
“Assalammualaikum Kakak Ipar Ku🤍 @bondarozitaibrahim
“Kita wakil dari keluarga kecil kami mengucapkan Selamat Datang dalam keluarga kami. Selamat datang ke keluarga kami, kakak ipar ku @bondarozitaibrahim,” tulisnya.
Doa semoga berkekalan
Sementara itu, Rebecca turut mendoakan agar perkahwinan abangnya dan Bonda Rozita berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Semoga perkahwinan buat Abang Long dan Kak Rozi ini membawa sampai ke akhir hayat dan ke syurga Allah.
“Semoga perkahwinan ini sentiasa di jaga, diberkati dan diPelihara Allah SWT.
“Semoga cinta ini kekal abadi hingga ke akhir hayat berdua. Dengan saling sayang menyayangi dan hormat menghormati sesama pasangan. Semoga bahagia dunia akhirat,” titipnya.
Sebelum ini, khabar angin mengenai perkahwinan Rozita bertebaran apabila muncul kelibat seorang lelaki ketika wanita terbabit membuat sesi siaran langsung dalam Instagram bagi mempromosikan produk jualannya.
Lelaki dalam video tersebut didakwa merupakan abang kepada Rabecca namun hantaran berkenaan kemudian dipadamkan.
Menantunya, Datin Seri Shahida pula enggan mengulas tentang dakwaan suami baharu mentuanya memandangkan perkara terbabit bersifat peribadi yang sepatutnya dikongsikan sendiri tuan badan.
Tidak lama kemudian, tular video yang memperlihatkan Rozita sedang melintas jalan di Jepun sambil dipimpin seorang lelaki.
Kemudian, anaknya iaitu Nur Ain Sufiah mengesahkan ibunya sudah bercerai dan mendirikan rumah tangga dengan individu berkumis tebal yang muncul dalam video siaran langsung sebelum ini.
Kemudian, Bonda Rozita Ibrahim akhirnya berkongsi foto sedang menunaikan umrah bersama suami baharunya dalam Instagram baru-baru ini.