Hiburan
Astro Menang Kategori 'Best Drama or Telemovie' di 21st Asian Television Award Menerusi 'Tulus Ikhlas'
Astro memenangi kategori 'Best Drama or Telemovie' di 21st Asian Television Award menerusi telefilem Tulus Ikhlas.
Menewaskan beberapa pesaing hebat dalam kategori yang sama, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh menerima trofi tersebut di majlis anugerah yang diadakan di Suntec, Singapura malam tadi.
Tulus Ikhlas merupakan adaptasi daripada iklan Hari Raya Aidilfitri yang bersiaran di Astro First Eksklusif pada Februari lalu.
Tulus Ikhlas diinspirasikan menerusi sebuah iklan televisyen tahun 2012 yang menampilkan dua kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan penglihatan sebuah syarikat padi beras terkemuka tanah air.
Iklan tersebut pernah menjadi sebutan dan mencuri perhatian ramai pihak suatu ketika dahulu.
Selepas empat tahun, kisah dua sahabat itu diangkat dalam format telefilem selama 90 minit.
Mendapat sentuhan sutradara Hafiz Ibrahim dan olahan skrip oleh Jeffery Yusop, Tulus Ikhlas dibintangi oleh Azmi Bahron, Azri Iskandar, Rahhim Omar, Marissa Yasmin dan turut dibintangi oleh pendatang baru, Mohd Safiq Arsad.
Tulus Ikhlas membawa penonton menerjah kehidupan dua insan kurang upaya bernama Adi dan Buyong.
Adi merupakan seorang cacat penglihatan manakala Buyong seorang yang cacat pendengaran meneruskan kelangsungan hidup sebagai tukang urut kaki di Jalan Alor, Kuala Lumpur.
Istimewa untuk anda, saksikan telefilem Tulus Ikhlas yang bakal bersiaran jam 9.00 malam ini di Astro Citra (saluran 131).
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video