HIBURAN
Bakal Diiktiraf Malaysia Book of Records, Feminin Muncul Di Malam Ke-4, Konsert GENKru Memang Fenomena
Kumpulan KRU menerusi Konsert GENKru 2025 oleh Icon Entertainment terus melakar sejarah serta fenomena tersendiri dengan penganjuran pada malam keempat, malam ini.
Lebih mengujakan, penganjuran malam keempat yang ditambah pada saat akhir selepas mendapat permintaan luar biasa dalam kalangan peminat KRU akan menampilkan kumpulan Feminin sebagai penampilan khas.
“Keputusan membawa Feminin dibuat pada hari Rabu. Susah untuk mendapatkan persetujuan Feminin tapi akhirnya kami berjaya memujuk mereka untuk turut serta dalam konsert terakhir iaitu malam keempat khas untuk peminat,” ujar pengasas Icon Entertainment, Iman Tang pada sidang media sebaik berakhirnya Konsert GenKRU malam ketiga di Axiata Arena.
Pada masa sama,Konsert GenKRU yang dipentaskan empat malam di Axiata Arena pada tarikh 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025 bakal diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) dalam dua kategori yang bakal diumumkan, malam ini.
“Kami tidak sangka Konsert GenKRU mendapat sambutan sangat hebat. Selepas persembahan hari pertama dan kedua, laman web tiket konset KRU terima kunjungan luar biasa.
“Daripada 93,000 orang pada sebelah petang, jumlah pengunjung di laman web itu melonjak kepada 169,000 orang. Jadi, daripada situ, kita buat keputusan untuk tambah persembahan satu malam lagi," kata Iman lagi.
Terdahulu Konsert GENKru mencetus gelombang luar biasa dalam kalangan peminat apabila menerima sambutan hebat dan menjadi buah mulut di laman sosial sejak penganjurannya minggu lalu.
Must-Watch Video