Sebagai mengenang pemergian sutradara terkenal, Mamat Khalid, Astro akan menayangkan 19 karya-karya Allahyarham di saluran Astro On Demand.

Antara filem dan drama bersiri yang dirangkumkan dalam rel Mamat Khalid Dalam Kenangan itu termasuk Hantu Kak Limah, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Episod 10 Journey To Stardom, Klik Rider dan Yang Dulu Bersama Mamat Khalid.

BACA: "Filem Kegemaran Keluarga, Vibes P. Ramlee, Watak Pembantu Jadi Hero" - Netizen Terkenang Karya-Karya Mamat Khalid, Terima Kasih

"Selain itu, rel tribut tersebut turut merangkumi Kampong Pisang Bersiri Siri; Manap Karaoke; Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet; Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya; Rock Oo!: Rimba Bara Kembali dan Rock, Rock Bro!.

"Filem komedi 17 Puasa, 16 Puasa, Amir dan Lokman Pergi Ke Laut, Kampong Pisang Kita Setandan, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang dan Semerah Darah turut akan ditayangkan," menurut kenyataan Astro pada Ahad.

Tayangan ini akan bermula pada hari ini sehingga 31 Oktober 2021 dan ia tertakluk kepada pakej langganan pelanggan, jelasnya lebih lanjut.

Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung malam kelmarin.

BACA: Mamat Khalid Meninggal Dunia

Allahyarham sinonim dengan filem komedi satira dan sering menyelitkan isu masyarakat serta kritikan sosial.

Berita pemergian Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, dikongsikan oleh penyair Pyanhabib di Facebooknya.

Allahyarham meninggalkan isteri, Hasmah Hassan bersama lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!