Adik kepada pelakon cantik Emma Maembong, Ahmad Maembong mengakui sering gagal dalam percintaan.

Malah, episod cintanya terbaharu berakhir sebulan lalu apabila kedua-duanya tidak bersefahaman.

"Kehidupan peribadi saya tidak mengujakan pun. Asyik couple break, couple break! Memang tak ada yang melekat.

"Mungkin disebabkan saya yang tak pandai nak bercinta atau sweet-sweet. Bukan sebab taste tinggi pun," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra filem Garang di Alvina Empire, Petaling Jaya semalam.

Tambah Ahmad, 26, dia kini lebih mengutamakan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi yang baru berkembang selain memikirkan soal cinta.

"Lepas sudah ada duit mungkin akan kahwin terus. Target saya lagi tiga tahun apabila saya berusia 30 tahun.

"Kalau fikirkan pasal teman wanita duit asyik habis je... Sebab sayangkan?" tambahnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Ahmad bakal muncul sebagai bintang utama filem adaptasi kisah atlet paralimpik, Garang.

Menjayakan watak Reza dalam filem arahan Kan Varren itu, Ahmad akui kesemua aksi dilakonkan sendiri tanpa memerlukan pelagak ngeri.

"Saya nak buktikan bahawa orang kelainan upaya (OKU) pun mampu berlakon jadi hero dan buat aksinya sendiri.

"Malah, saya mahu memberikan inspirasi dan semangat kepada golongan senasib untuk melakukan sesuatu di luar akal tanpa pedulikan cakap-cakap orang," ujarnya.

Filem terbitan Sakti Films Sdn Bhd itu bakal ditayangkan pada 5 Disember sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang disambut pada 3 Disember.

Garang turut dibarisi pelakon lain seperti Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Pablo Amirul, Cha Cha Maembong, Adam Lee dan ramai lagi.