Hiburan
Atta Halilintar Pernah Jual Kad Sim Di Pasar Seni - “Ketika Itu Kewangan Keluarga Tidak Begitu Baik…”
Tak pernah putus asa sejak zaman kanak-kanak, personaliti media sosial terkenal Indonesia, Atta Halilintar berkongsi pengalaman dia mencari rezeki di Pasar Seni, Kuala Lumpur ketika di usia belasan tahun.
Pernah Jual Kad Sim
Berkongsi momen menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga sekitar 20 tahun lalu, Atta memberitahu dia pernah mengikut bapanya menjual kad sim.
"Sebagai anak sulung saya perlu ambil tanggungjawab. Ketika itu kewangan keluarga tidak begitu baik dan saya ikut bapa jual kad sim di sekitar Pasar Seni.
"Bukan itu sahaja, malah pelbagai barang lain kami jual sebab itu Pasar Seni antara lokasi yang bermakna dalam hidup saya.
"Apa yang dilalui sebelum ini menjadi pemangkin semangat untuk saya. Sebab itu apabila pulang ke Indonesia saya terus berniaga tanpa pernah kenal erti penat atau menyerah,” katanya kepada Gempak.
Atta ditemui ketika hadir ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan lagu terbaharunya berjudul Mantap Cuy yang merupakan kolaborasi bersama penyanyi rap Saixse dan Kidd Santhe.
Sambung Belajar Di Kolej
Atta juga tidak melepaskan peluang kembali melawat Sekolah Indonesia Kuala Lumpur yang merupakan tempat dia menimba ilmu selama tiga tahun bermula di usia 10 tahun.
Biarpun tak dapat menyambung pelajaran di peringkat sekolah menengah selepas pulang ke Indonesia, namun Atta syukur diberi peluang kedua dengan meneruskan pengajian di sebuah kolej di Jakarta.
"Hidup saya ketika zaman kanak-kanak tidak sama seperti rakan-rakan lain. Mereka ada masa untuk bermain tetapi saya pula kena kerja mencari duit.
“Saya juga tidak menyambung persekolahan selepas pulang ke Indonesia. Mungkin Tuhan dengar doa saya ketika kecil dahulu.
“Syukur tahun ini saya sambung pengajian peringkat sekolah sebelum ke kolej. Biarpun terlambat tetapi saya tetap mahu tamatkan pengajian," ujarnya.
BERITA TRENDING: Atta Halilintar Akui Bukan Mudah Jadi ‘Daddy Muda’ - “Anak Perempuan Ini Tanggungjawab Atas Ayahnya Sampai Nikah”
Must-Watch Video