“Ayah Cakap Masa Laungkan Azan Dia Sudah Ada Firasat Afham Berada Di Situ” - Kakak Aufahanie
Mya Amri
14/08/2024 15:57 MYT
14/08/2024 15:57 MYT
Kakak sulung kepada penyanyi, Nidza Afham iaitu Irfahanie memberitahu bapanya Mokhtar Mahmud sudah merasakan akan bertemu mayat anaknya ketika melaungkan azan di sekitar Jambatan Sungai Klang pada petang Rabu.
Perkara itu dikongsi Irfahanie yang turut berada di sekitar kawasan penemuan mayat.
“Ayah cakap masa melaungkan azan, dia sudah ada firasat Nidza berada di situ. Tapi ketika itu masih belum ada kepastian,” katanya.
Irfahanie atau Irfa ditemui di Unit Forensik Hospital Shah Alam, Selangor ketika jenazah Allahyarham Nidza dibawa bagi tujuan siasatan.
Berkongsi lanjut Irfa memberitahu mayat adiknya itu ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan berkenaan.
“Ada seorang lelaki beritahu dia sudah nampak mayat itu sekitar pukul 3 petang (Rabu) tetapi tidak timbul sepenuhnya.
“Kemudian sekitar pukul 5 petang barulah nampak mayat sepenuh dan dia melaporkan kepada pihak polis.
“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang dan kembali ke lokasi bagi tujuan pengecaman mayat,” ujarnya.
Tambah Irfa mayat dipercayai sudah berada di kawasan berkenaan sejak lewat malam Selasa sebelum ditemui.
Irfa juga memberitahu dia dan keluarga masih tidak dapat pastikan punca kematian adiknya itu.
“Kita menemui telefon bimbit dia. Kami periksa, tiada sebarang unsur jenayah, hutang atau yang pelik-pelik.
“Arwah juga banyak menghabiskan masa di rumah sejak kebelakangan ini selepas melalui proses pembedahan akibat kecederaan pada lutut.
“Dalam nota di telefon bimbit pin hanya ada perancangan berkahwin dan belanjawan. Tapi dia belum ada tarikh berkahwin,” kongsinya.
Untuk info, penemuan Nidza, 23, disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang memberitahu mayat lelaki lelaki ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang, adalah penyanyi Nidza Afham.
Jenazah akan melalui proses bedah siasat sebelum dikebumikan pada Khamis Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah.