Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat tidak dapat menahan sebak sewaktu lawatannya ke Pusat Jagaan Al Fikrah, Kajang.

Pusat jagaan yang menempatkan warga emas itu merupakan salah satu destinasi bagi aktiviti Meter Positif yang dianjurkan bersempena Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME 2016).

“Lawatan ke pusat jagaan tersebut merupakan kunjungan kali pertama saya ke sana. Sebelum ini, saya pernah mengunjungi rumah warga emas tetapi di tempat lain. Tujuan utama kunjungan tersebut ialah untuk menggembirakan mereka.

“Selain bertanya khabar, kami sempat bermain beberapa games bersama warga emas di sana. Kami mengimbau kenangan lama dengan membuat permainan teka lagu dan filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” kata Ayda.

Mengunjungi Pusat Jagaan Al Fikrah bersama Mark Adam, Firman, Aman dan krew AME 2016, Ayda mendedahkan yang dia menangis sebelum meninggalkan pusat jagaan tersebut.

“Saya banyak kali menahan tangis, tetapi saya kuatkan. Sebelum pulang, saya dan rakan-rakan artis lain harus membuat ucapan. Tiba-tiba, saya ternampak ada seorang pak cik menangis apabila melihat kami yang sedang bersiap-siap mahu pulang.

“Saya merupakan seorang gadis yang di luarnya nampak periang dan ceria, tetapi saya mempunyai hati yang rapuh. Akhirnya, saya gagal mengawal perasaan dan turut mengalirkan air mata. Mungkin dalam hati pak cik itu rasa gembira dengan kedatangan kami dan pada masa yang sama, dia turut rasa sedih kerana melihat kami pulang,” katanya.

Dalam pada itu, gadis yang tercalon dalam kategori Pelakon Meletop, Penyanyi Meletop dan Lagu Meletop AME 2016 ini sedih apabila mendengarkan kisah warga emas yang berada di pusat jagaan tersebut.

“Tanpa pengetahun krew AME 2016, saya sempat singgah ke dapur dan berbual bersama individu yang menguruskan pusat jagaan tersebut. Saya bertanyakan mengenai latar belakang penghuni pusat jagaan tersebut. Saya sangat terkejut kerana ada yang di tinggalkan di tepi longkang sahaja oleh anak-anak mereka.

“Ada juga yang dibiarkan sahaja di hospital dan tidak dituntut oleh anak masing-masing. Saya rasa sangat sedih dan kecewa mendengarkan perkhabaran tersebut. Ia turut menyedarkan diri saya untuk menjaga kedua ibu bapa saya dengan baik,” katanya.

Memuji usaha Meter Positif yang dijalankan oleh AME 2016, penyanyi lagu Pencuri Hati ini turut menggesa pihak di luar sana untuk membantu mereka yang memerlukan di Pusat Jagaan Al Fikrah.

“Peminat akan tahu sisi lain artis. Tugas artis bukan sahaja menghiburkan, tetapi ada tanggungjawab tersendiri. Kalau dalam lakonan, kadang-kadang ada pelakon yang bawa watak antagonis dan nampak jahat, tetapi menerusi aktiviti ini, ada sisi lain mereka yang boleh dilihat.

“Terima kasih kepada Astro dan AME 2016 kerana menganjurkan aktiviti sebegini. Bagi saya, bila orang bercakap mengenai anugerah, orang hanya ingat mengenai hiburan dan bergembira sahaja. Namun ia lebih dari itu.

“Dengan adanya aktiviti Meter Positif ini, ia mengubah perspektif orang lain terhadap majlis anugerah dengan adanya aktiviti CSR. Saya menyeru kepada semua peminat yang berkemampuan untuk sama-sama membantu Pusat Jagaan Al Fikrah,” katanya.

AME 2016 bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Konvensyen Kuala Lumpur (CIDB) pada 28 Februari ini bermula jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Tetapi, jangan lupa untuk terus mengundi calon top 5 anda di Anugerah MeleTOP Era 2016 kerana lebih banyak anda mengundi, ‘positif meter’ akan bergerak dan selebriti kita akan melakukan kerja amal mengikut pergerakan meter tersebut.

Ingat, satu undian anda bakal membuatkan seribu yang lain tersenyum!

Teks oleh: Kamaruddin Razal