Penyampai radio ERA, Azad Jasmin akui pernah berselisih faham dan bermasam muka dengan isteri, Eira Syazira gara-gara mahu melabur dan membeli emas.

Jelas Azad, ketika menyampaikan hasrat itu kepada Eira, isterinya tidak bersetuju kerana bimbang akan menjadi mangsa penipuan atau scammer.

"Jujurnya saya memang pernah ditipu sebelum ini dengan kerugian yang banyak juga jadi saya faham bila Eira tarik muka dan tidak bersetuju pada awalnya.

"Saya cuba yakinkan dia dan Alhamdulillah bila dia nampak saya bawa balik emas itu dalam bentuk fizikal dia mula senyum," katanya pada majlis menandatangi perjanjian persahaman (MoU) Quantum Metal (QM) Sdn Bhd dan Semboyan Malaysia di Petaling Jaya baru-baru ini.

Melanjutkan bicara, kata Azad, tujuan dia membuat keputusan melabur emas sebagai demi simpanan masa depan diri sendiri dan keluarganya.

Selidik latar belakang pelaburan emas

Namun, Azad akui dia mengambil iktibar daripada kesilapan lalu dan sentiasa menyelidik latar belakang pelaburan yang diceburi.

Dia yang juga rakan artis bagi QM berkata, sebelum bersetuju beberapa langkah turut diambil termasuk berjumpa dengan pihak Semboyan Malaysia.

"Saya jumpa sendiri dengan Pengerusinya, Yusof Azmi maklumlah Semboyan satu badan yang banyak membantu kes mengenai penipuan dan scammer termasuk pelaburan emas.

"Jadi saya jumpa untuk bertanya mengenai syarikat QM ini dan kami turun serta berjumpa dengan pengasasnya sendiri Datuk Lim Khong Soon.

"Bila jumpa semua soalan yang ditanya boleh dijawab dengan jelas dan memberikan gambaran boleh percaya kepada kami semua," katanya.



Lantaran itu, dia berkata usaha Semboyan mengadakan kerjasama dengan QM satu langkah yang baik dalam memberikan saluran betul kepada orang ramai untuk melabur emas.

"Kita faham ramai yang cari alternatif untuk menjana pendapatan malah ramai yang janji bulan bintang tapi pastikan ia realistik.

"Pada saya, emas ialah pelaburan yang tepat kerana sentiasa ada nilai sampai bila-bila," katanya.

Renew kontrak radio ERA

Dalam perkembangan lain, Azad turut berkongsi berita gembira apabila sudah memperbaharui kontrak sebagai penyampai radio ERA FM.

Tambahnya, dia memilih untuk memberikan fokus kepada bidang radio dan pelaburan pada masa ini dan meletakkan lakonan ke tepi.

"Selain di radio selama lebih kurang setengah hari, saya juga bapa kepada tiga anak dara yang memang rapat dengan saya. Jadi saya perlu beri tumpuan kepada mereka.

"Saya juga menyokong kerjaya seni Eira yang kini turut berkembang ke negara jiran Indonesia," katanya.

Terdahulu, satu majlis Mou diadakan antara QM iaitu syarikat pengimport dan pembekal emas dengan Semboyan Malaysia bertujuan menyediakan solusi kepada hal berkaitan pelaburan emas yang sah.