Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menjelaskan berlakunya kesilapan teknikal sewaktu majlis pengumuman pemenang Bintang Kecil 2023 yang berlangsung pada Ahad.

Menurut Suhaimi, format lampu sepatutnya menyala ke atas juara Bintang Kecil 2023, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Disebabkan itu juga Suhaimi membuat permohonan maaf kepada juara iaitu Kiki dan naib juara, Farha menerusi akaun Instagram miliknya.

“Video ini saya tujukan khas kepada adik Kiki dan Farha iaitu pemenang tempt pertama dan kedua Bintang Kecil 2023.

“Saya tahu perasan Kiki dan Farha tertekan kerana format kita lampu akan menyala ke atas peserta yang menang.

“Kiki memenangi pertandingan tetapi lampu itu ditujukan dan menyala ke atas Farha.

“Jadi saya minta maaf bagi pihak RTM,” ujarnya.

A post shared by Suhaimi Sulaiman (@suhaimisulaiman)


Dalam pada itu, Suhaimi juga menjelaskan Azam Pitt selaku pengacara cuba menyelamatkan keadaan namun terlambat kerana lampu itu menyala terlalu lama.

“Azam sebagai pengacara cuba untuk membetulkan keadaan tapi agak terlambat juga sebab lampu itu sudah terlampau lama menyala dan tak dapat bergerak hingga tersekat pada ketika itu sekali gus memberi tekanan kepada semua.

“Saya yang berada di atas pentas itu pun dapat merasa rasakan tekanan tersebut. Saya mondoakan terus kejayaan Kiki dan Farha,” jelasnya.

Terdahulu tular video memaparkan kesilapan pengumuman juara dan naib juara Bintang Kecil 2023 yang diadakan secara langsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak.

Untuk menutupi kesilapan itu, pengacara iaitu Azam Pitt dan Sweet Qismina menyifatkan kejadian itu sebagai satu gimik.