Pelakon Azar Azmi difahamkan sudah bergelar tunangan kepada lelaki pilihan hatinya yang juga merupakan seorang penerbit filem dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup semalam.

Azar atau nama sebenarnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 30, dilaporkan melangsungkan majlis pertunangan tersebut di Mesra Abadi, Keramat, Kuala Lumpur.

Menurut laporan Harian Metro, difahamkan pelakon drama Red Velvet itu mengikat tali pertunangan selama setahun dengan jejaka pilihan hatinya yang berstatus duda anak dua.

Sementara itu, tinjauan di Instagram mendapati, beberapa foto dirinya menyarung pakaian busana putih rekaan Azura Couture ketika majlis berlangsung turut dikongsikan tetamu yang hadir.

Dalam satu perkongsian foto, seorang tetamu turut berkongsi gambar Azar bersama seorang lelaki dipercayai tunangannya.

Difahamkan nama tunangan Azar ialah Hafiz Rozlan berdasarkan foto yang dimuat naik oleh penyanyi Fazli Zainal di ruangan Instagram Story.



Difahamkan, pasangan tersebut sudah mengenali antara satu sama lain sejak lebih lima tahun yang lalu.

Bagaimanapun, usaha Gempak untuk menghubungi Azar bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pertunangannya itu gagal apabila pelakon berkenaan tidak menjawab sebarang panggilan dan mesej.

Begitupun, dakwaan dirinya bertunang dikuatkan lagi apabila pengurusnya yang dikenali sebagai Kam turut memberikan ucapan kepadanya.

"Tahniah my lovely sayang @azarazmi. Selamat menjalani ikatan pertunangan. Sayang awak," tulisnya menerusi akaun miliknya, @kam2u.

Pada masa sama ramai rakan artis dan pengikutnya mengirimkan ucapan tahniah atas majlis pertunangan tersebut.

"Tahniah baby! Maaf tak dapat pergi," tulis aktres Janna Nick.

Sebelum ini, media tempatan pernah melaporkan Azar mengakui dirinya sedang menjalin hubungan cinta dengan seseorang, namun enggan mendedahkan identiti lelaki berkenaan.

Pengakuan itu dibuat selepas dia menafikan hubungannya goyah apabila melakonkan babak asmara bersama Syafiq Kyle menerusi drama Nur 2 yang mengangkat namanya.