Pelakon Azmi Bahron menggalas cabaran untuk melakonkan watak seorang pemuda yang mempunyai masalah pendengaran dalam filem Tulus Ikhlas.

Azmi yang terkenal menerusi watak Mi Black dalam filem Rock Oo membuat kajian sebelum masuk ke set penggambaran filem arahan Hafiz Ibrahim ini.

“Jika sebelum ini dalam filem Rock Oo, saya membawa watak sebagai seorang drummer yang berlidah pendek, filem Tulus Ikhlas pula menuntut saya menjadi seorang lelaki bernama Buyong yang mempunyai masalah pendengaran.

“Saya menjalankan penelitian sendiri sebelum menggalas watak Buyong. Saya juga melihat cara Pyanhabib yang mempunyai masalah pendengaran. Sukar sebenarnya mahu menjayakan watak tersebut namun syukur kerana ianya diterima ramai pihak,” kata Azmi kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai keserasiannya dengan pendatang baru, Mohd Safiq Arshad yang mempunyai masalah pengllihatan, Azmi seronok melayan Safiq yang mempunyai karakter ‘loyar buruk’.

“Dua hari sebelum penggambaran bermula, saya sudah ditempatkan dalam sebuah bilik hotel bersama Safiq. Saya boleh katakan yang Safiq mempunyai karakter yang ‘loyar buruk’ tetapi dia baik orangnya. Saya suka melayan perangainya itu dan penggambaran berjalan dengan seronok,” seloroh Azmi.

Selain Azmi dan Safiq, Tulus Ikhlas turut dibintangi oleh Azri Iskandar, Rahhim Omar, Marissa Yasmin dan ramai lagi.

Tulus Ikhlas merupakan adaptasi daripada iklan Hari Raya Aidilfitri yang bersiaran di Astro First Eksklusif.

Tulus Ikhlas diinspirasikan daripada iklan yang menampilkan dua kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan penglihatan sebuah syarikat padi beras terkemuka tanah air pernah menjadi sebutan pada tahun 2012.

Filem ini membawa penonton menerjah kehidupan dua insan kurang upaya bernama Adi dan Buyong.

Adi merupakan seorang cacat penghlihatan manakala Buyong seorang yang cacat pendengaran meneruskan kelangsungan hidup sebagai tukang urut kaki di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

Jangan lupa saksikan Tulus Ikhlas yang akan mula bersiaran secara eksklusif di Astro First Eksklusif Saluran 480 mulai 20 Februari 2016 dengan hanya RM15.90. Penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Teks oleh: Kamaruddin Razal